Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Malaysia dan Thailand bekerjasama naik taraf kemudahan perhubungan grid elektrik
  • SEMASA

Malaysia dan Thailand bekerjasama naik taraf kemudahan perhubungan grid elektrik

Utusan Sarawak 10 hours ago

BANGKOK: Malaysia dan Thailand mengumumkan rancangan untuk menaik taraf kemudahan perhubungan grid elektrik rentas sempadan sedia ada, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama tenaga antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak beberapa dekad lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerjasama itu mencerminkan sejarah kukuh hubungan teknikal dan kepercayaan bersama antara Malaysia dan Thailand.

“Kita semua maklum bahawa sambungan grid yang mula beroperasi pada awal 2000-an kini sudah usang. Tahap kebolehpercayaannya telah menurun dan semakin sukar untuk diselenggara.

“Ketika Malaysia dan Thailand giat mengintegrasi tenaga boleh baharu ke dalam grid masing-masing, kebolehpercayaan sambungan grid rentas sempadan menjadi semakin penting,” katanya selepas kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Thailand Pirapan Salirathavibhaga, yang juga Menteri Tenaga, di Rumah Kerajaan pada Khamis.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan bagi kerja-kerja naik taraf tersebut.

Kajian itu menyediakan asas teknikal yang kukuh dan hala tuju yang jelas.

“Naik taraf sambungan ini akan membolehkan pertukaran elektrik rentas sempadan secara lebih cekap dan selamat, serta menjadi asas kepada perdagangan elektrik pelbagai hala di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG),” katanya.

Sementara itu, Fadillah turut mendedahkan bahawa Malaysia telah mencadangkan pembelian sehingga 300 megawatt (MW) bekalan elektrik terjamin dari Thailand bagi meningkatkan keselamatan dan fleksibiliti bekalan elektrik negara, selaras dengan peningkatan permintaan tenaga dalam negara.

Beliau menegaskan kesediaan Malaysia untuk melangkaui pertukaran tenaga secara dua hala tradisional dan meneroka model perdagangan tenaga pelbagai hala yang lebih tersusun.

“Malaysia mencadangkan supaya dimulakan perbincangan mengenai kemungkinan membeli sehingga 300 MW bekalan elektrik terjamin dari Thailand. Cadangan ini berdasarkan jangkaan peningkatan permintaan elektrik pada masa akan datang. Import bekalan tenaga terjamin dari Thailand dijangka dapat menambah keselamatan dan fleksibiliti dalam memenuhi keperluan tenaga negara,” jelasnya.

Semasa lawatan rasmi kerja ke Thailand, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia yang turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz serta pegawai kanan lain.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menghadiri taklimat oleh syarikat Trans Thai-Malaysia (TTM) Thailand yang dikendalikan oleh Petronas, bagi mendapatkan maklumat mengenai hala tuju, cabaran dan perkembangan terkini syarikat itu di Thailand. — Bernama

Continue Reading

Previous: DUN: Fazzrudin selar Violet
Next: DUN: Gesa pembangunan infrastruktur, sosioekonomi dipercepat di DUN Ngemah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.