

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Brunei memperkukuh komitmen mereka untuk menyelesaikan isu-isu yang digariskan dalam Pertukaran Surat (EOL) 2009, khususnya perkara berkaitan sempadan darat dan maritim.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa perkara itu dizahirkan susulan Mesyuarat ke-26 Pelaksanaan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei (EOL-26).
Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar II Brunei Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof.
Dalam mesyuarat itu, kedua-dua menteri turut bertukar pandangan dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi demi manfaat kedua-dua negara.
Lawatan itu menzahirkan hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei serta menjadi asas persediaan Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26 yang akan dihoskan oleh Malaysia bulan depan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Erywan menamatkan lawatan kerja dua hari ke Malaysia yang berakhir hari ini.
-Bernama