KUALA LUMPUR: Malaysia, bersama-sama empat negara Asean akan mengambil bahagian dalam fasa seterusnya rangkaian pembayaran rentas sempadan pelbagai hala Projek Nexus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Berdasarkan Laporan Tahunan 2022 BNM yang dikeluarkan hari ini, fasa itu bermatlamat untuk membolehkan Nexus menjadi model yang berdaya maju dari segi operasi dan komersial menjelang 2025.
Sehubungan itu, BNM telah menandatangani Memorandum Persefahaman Rangkaian Pembayaran Serantau dengan bank pusat Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand semasa Sidang Kemuncak G20 di Bali pada November 2022.
“Projek ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk rantau ini. Pengguna akan dapat menikmati pembayaran serta pemindahan dana yang lebih murah, cepat dan telus antara negara yang mengambil bahagian pada masa hadapan.
“Projek ini juga dapat mengukuhkan kerjasama perdagangan dan ekonomi antara rantau, di samping mendorong inovasi yang lebih rancak dalam ruang pembayaran,” kata bank pusat itu.
Eksperimen Projek Nexus, yang telah disempurnakan pada Disember 2022, menunjukkan bahawa model pelbagai hala untuk menghubungkan sistem pembayaran segera (IPS) secara teknikalnya boleh dilaksanakan.
“Semasa eksperimen dijalankan, pembayaran rentas sempadan berjaya dikreditkan ke dalam akaun penerima dalam masa 60 saat,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu, pengaturan Nexus merangkumi model ujian (atau Nexus Gateway) dan draf peraturan untuk peserta Nexus (atau Nexus Scheme).
Katanya, Nexus Gateway ini berfungsi sebagai platform utama bagi IPS untuk menghubungkan serta menguruskan pembayaran dan pemindahan dana rentas sempadan termasuk perkara-perkara berkaitan pembayaran seperti penghantaran mesej pembayaran, penukaran mata wang dan saringan pematuhan, dengan segera.
Manakala, Nexus Scheme pula merupakan buku peraturan standard yang menggariskan peranan serta tanggungjawab semua peserta dalam pengaturan Nexus, termasuk pengendali IPS dan penyedia perkhidmatan pembayaran.
Bagaimanapun, laporan itu berkata walaupun eksperimen ini menunjukkan pengaturan Nexus boleh dilaksanakan secara teknikal, terdapat faktor lain yang masih perlu dipertimbangkan sebelum Nexus boleh dilaksanakan dalam situasi sebenar.
Antara faktor yang boleh diambil kira adalah pengaturan tadbir urus untuk entiti yang akan menguruskan dan mengendalikan pengaturan Nexus, katanya.
Terdahulu, Malaysia telah melaksanaan IPS pada Disember 2018 dan ia memacu ke arah transaksi pembayaran runcit serta kiriman wang domestik yang lebih mudah.
Bagaimanapun, pembayaran dan pengiriman wang ke luar negara masih lagi sukar, jadi bank telah berusaha untuk menjalinkan IPS negara kita dengan IPS di beberapa negara jiran bagi memastikan pembayaran rentas sempadan memberikan manfaat yang setara dengan pembayaran domestik pada masa ini.
Setakat ini, bank telah mewujudkan jalinan pembayaran rentas sempadan dua hala dengan Thailand, Indonesia dan Singapura untuk membolehkan pembayaran melalui kod QR. – Bernama