
MAKKAH: Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Madinah kini memperoleh kelulusan permit (Tasrih) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi sekali gus membolehkan fasiliti kesihatan itu beroperasi sepenuhnya sepanjang musim haji 1445H/2025M.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata Malaysia menjadi antara tiga negara terawal yang menerima kelulusan itu bagi sektor Madinah, hasil kerjasama strategik antara TH dan Saudi German Hospital yang buat julung kali dilaksanakan bagi musim haji tahun ini.
“Kelulusan ini bukan sahaja membuktikan tahap pematuhan terhadap peraturan antarabangsa malah satu bentuk pengiktirafan terhadap standard tinggi sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia dalam menjaga kebajikan dan kesihatan para jemaah haji di Tanah Suci,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata fasiliti kesihatan TH perlu melalui proses pemeriksaan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dan diselia secara langsung oleh Saudi German Hospital sebelum diberikan kelulusan.
Dalam pada itu, Mohd Hisham memaklumkan seramai 141 jemaah haji Malaysia telah menerima rawatan kesihatan sejak ketibaan mereka di Tanah Suci, sama ada di Pusat Rawatan TH mahupun di hospital tempatan Arab Saudi.
“Daripada jumlah itu, 129 jemaah menerima rawatan di fasiliti kesihatan TH manakala 12 jemaah dirujuk dan dirawat di hospital Arab Saudi. Di Makkah sahaja, seramai 97 jemaah menerima rawatan, dengan 89 di Pusat Rawatan TH dan lapan di hospital tempatan.
“Di Madinah seramai 44 jemaah telah mendapatkan rawatan, dengan 40 orang di fasiliti TH dan empat orang di hospital Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata kes yang dirawat melibatkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk penyakit saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, masalah berkaitan telinga, hidung dan tekak (ENT), masalah otot dan sendi serta penyakit kulit.
Sementara itu, Mohd Hisham berkata setakat ini dua jemaah haji Malaysia disahkan telah meninggal dunia di Makkah, kedua-duanya akibat serangan jantung.
Beliau berkata kematian pertama melibatkan Allahyarham Norizan Tambonan Nordin, 47, dari Batu Pahat, Johor yang menghembuskan nafas terakhir pada 7.00 pagi Jumaat lepas.
Sementara itu, Allahyarham Abdullah Mat, 59, dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia pada 5.10 pagi semalam, selepas rebah ketika melaksanakan tawaf sunat di Masjidil Haram sebelum solat subuh.
“Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah. TH akan melaksanakan badal haji bagi kedua-dua arwah pada musim haji ini sebagai memenuhi tuntutan ibadah mereka yang belum selesai,” katanya. — Bernama