
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines hari ini mengumumkan pembatalan tambahan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Shanghai pada 11 hingga 12 Julai 2026 berikutan cuaca buruk akibat Taufan Bavi.
Tindakan itu menyusuli pembatalan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Taipei yang diumumkan semalam.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penerbangan yang terjejas pada 11 Julai ialah MH386 (Kuala Lumpur-Shanghai), MH388 (Kuala Lumpur-Shanghai) dan MH389 (Shanghai-Kuala Lumpur).
Penerbangan MH387 (Shanghai-Kuala Lumpur) yang dijadualkan pada 12 Julai turut dibatalkan.
Semalam, Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan penerbangan MH366 (Kuala Lumpur-Taipei) dan MH367 (Taipei-Kuala Lumpur) yang dijadualkan pada 11 Julai berikutan Taufan Bavi.
Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan sedang memantau rapat perkembangan semasa dan akan terus menyalurkan maklumat terkini mengenai operasi penerbangan mengikut perubahan keadaan cuaca.
Pada masa sama, Malaysia Airlines menasihatkan penumpang agar mengemas kini maklumat perhubungan dalam bahagian ‘Tempahan Saya’ di laman sesawang atau aplikasi mudah alih syarikat bagi membolehkan penerimaan notifikasi melalui e-mel serta khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Penumpang terjejas boleh memilih bayaran balik atau menukar jadual perjalanan bagi laluan sama tanpa caj tambahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh asal penerbangan menerusi ‘Tempahan Saya’”, AskMH Live Chat atau Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines.
“Aspek keselamatan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan dalam membuat keputusan berkaitan operasi penerbangan,” menurutnya.
Taufan Bavi dijangka bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15-20 kilometer sejam dan menurunkan hujan lebat di sepanjang pesisiran dari Xiapu di Fujian hingga Wenling di Zhejiang pada malam Sabtu dan dijangka lemah kemudiannya.
Bagi tempoh petang semalam hingga petang hari ini, angin kencang dijangka melanda perairan di timur Taiwan, sebahagian besar Laut China Timur dan perairan berhampiran Diaoyu Dao selain pesisir Taiwan, Zhejiang serta Fujian. – Bernama