KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines telah menjalinkan kerjasama dengan ReveMax untuk melaksanakan ‘Airline Revenue Maximization Solution (ARMS)’ untuk memperkukuhkan proses membuat keputusan perniagaan dan komersial syarikat penerbangan itu.
Perkongsian itu membolehkan ReveMaX menyediakan penyelesaian ARMS yang inovatif, platform sokongan keputusan strategik, dan gambaran lengkap dan komprehensif mengenai ekosistem pendapatan serta kos syarikat penerbangan.
“Sistem ini juga membolehkan kakitangan syarikat penerbangan nasional ini melihat pandangan yang telus, lengkap dan keseluruhan perkembangan harian Malaysia Airlines dan membuat keputusan berkaitan hasil dengan segera berdasarkan data dilengkapi fakta,” kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan semalam.
Dikuasakan oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, Malaysia Airlines berkata platform tersebut menyediakan kecerdasan ramalan dan preskriptif, menghubungkan jabatan penerbangan yang berbeza dan panduan untuk membuat keputusan strategik yang lebih bijak untuk meraih keuntungan dan pada masa yang sama mengekalkan kestabilan kewangan organisasi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Izham Ismail (gambar) berkata syarikat penerbangan itu telah melihat pentingnya memiliki perniagaan yang berdaya tahan dan mampan, ia dibina berdasarkan asas digitalisasi yang membolehkan perniagaan berkenaan beroperasi dengan cekap.
“Bersama dengan integrasi sistem dalaman kami yang lain, kami dapat melakukan perubahan sepenuhnya terhadap proses kami dan melaksanakannya dengan penggunaan secara manual yang minimum,” katanya.
ReveMax adalah penyedia penyelesaian strategik digital yang memfokuskan kepada transformasi strategi digital, integrasi sistem yang memanfaatkan teknologi baharu serta terlibat dalam proses strategik dan inovatif. – Bernama