DARO: Lebih 400 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Tanah Besar Daro berkumpul di Dewan Masyarakat Daro semalam.
Ini bagi memeriahkan majlis makan malam Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Tanah Besar Daro bertemakan ‘Malam Pesta Muda Mudi’, yang menampilkan suasana penuh warna dan harmoni.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyemarakkan perpaduan komuniti, malah menonjolkan kerjasama erat antara pemimpin dan penduduk setempat dalam membangun kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam ucapannya menekankan peranan penting masyarakat dalam pembangunan kampung.
“Kerjasama antara penduduk dan pihak kerajaan perlu terus diperkukuhkan untuk memastikan kemajuan berterusan di kampung-kampung,” katanya sambil memuji KMKK Tanah Besar Daro atas kejayaan menganjurkan majlis penuh bermakna ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi turut menyatakan komitmen beliau dalam menyokong aktiviti komuniti di kawasan ini dengan mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa KMKK bagi pelaksanaan program-program pada masa akan datang.
Beliau juga menyeru agar lebih banyak program berbentuk perpaduan dianjurkan pada masa akan datang, demi memupuk semangat kekeluargaan yang erat di kalangan komuniti setempat.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai acara hiburan, persembahan seni, dan pertandingan yang melibatkan ahli JKKK, menjadikan malam tersebut satu pengalaman yang menggembirakan dan mengeratkan silaturrahim.
Dalam sesi penghargaan, individu dan pihak yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan kampung turut menerima cenderamata sebagai tanda penghormatan.
Hadir sama Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Leh Poh; Pegawai Daerah Daro, Zul Usup; Pemanca Kaum Cina Lau Oi Phen dan Ketua Polis Daerah Daro Rahim Mihos.-EDISI UKAS