
KUALA LUMPUR: Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menghidupkan kembali lagu-lagu dendangan Allahyarham Datuk Sharifah Aini menerusi konsert A Tribute to Sharifah Aini pada 6 Jun depan di Dewan Filharmonik Petronas.
MPO dalam satu kenyataan hari ini berkata, konsert itu dianjurkan sebagai penghargaan terhadap legasi seni Biduanita Negara berkenaan yang disifatkannya sebagai satu institusi muzik tersendiri.
Katanya, meskipun Sharifah Aini telah kembali ke rahmatullah pada 2014, keunggulan vokal serta perjalanan kerjayanya beliau yang luar biasa terus menjadi rujukan penting dalam industri muzik tanah air.
Penyanyi yang pernah digelar ‘anak emas EMI’ itu mencipta sejarah tersendiri apabila jualan albumnya mencecah tahap Emas dan Platinum, selain merakamkan sekitar 700 buah lagu dengan lebih 100 album sepanjang kerjayanya.
Konsert yang akan dipimpin konduktor Ahmad Muriz Che Rose itu menjanjikan pelbagai dimensi seni Allahyarham, merangkumi genre pop, balada, tradisional hingga lagu Inggeris.
Malam itu juga bakal diserikan dengan penampilan Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Asmidar dan Shiha Zikir yang akan mempersembahkan lagu-lagu malar segar termasuk Hapuslah Airmatamu, Kenang Daku Dalam Doamu serta Seri Dewi Malam.
Kesemua karya itu diberi nafas baharu menerusi gubahan khas komposer tempatan seperti Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri dan Luqman Aziz, sekali gus mengangkat semula karya-karya ikonik tersebut dalam susunan orkestra yang lebih segar dan menyentuh jiwa. – Bernama