
BUTTERWORTH: Suasana penuh warna-warni, harmoni dan semangat kebangsaan menyelubungi Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini malam ini apabila ribuan rakyat pelbagai kaum berkumpul meraikan kemuncak sambutan Hari Malaysia 2025.
Malam gilang-gemilang dan penuh bermakna itu turut mencatat detik bersejarah buat Pulau Pinang apabila julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah acara yang menyatukan seluruh rakyat dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Barisan Jemaah Menteri Persekutuan, Sabah dan Sarawak serta pimpinan kerajaan negeri dan pusat bersama ribuan pengunjung mula memenuhi dewan sejak 6.30 petang tadi.
Sambutan bermula 7 malam dengan prapersembahan oleh Kumpulan Kesenian Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Pulau Pinang, Orkestra Tradisional Malaysia serta persembahan ‘comel’ oleh murid Tabika Perpaduan.
Seterusnya, pada 8 malam ketibaan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Ia disusuli dengan ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, kemudian diikuti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru pulang ke tanah air pagi ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar, bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang menjadi tetamu kehormat malam ini bagi memeriahkan sambutan tiba pada 8.30 malam.
Seluruh dewan bertukar hening ketika lagu “Negaraku” bergema, diikuti lagu negeri Pulau Pinang, “Negeri Kita” sebelum acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin penerima Anugerah Puskas FIFA 2016 Mohd Faiz Subri bersama 61 peserta berbusana tradisional pelbagai kaum.
Pentas kemudian diserikan dengan segmen persembahan “Rentak Tradisi Pulau Mutiara” selama lima minit yang menggabungkan tiga seni tradisi ikonik negeri iaitu “Joget Joghee”, “Opera Cina Pulau Pinang” dan “Boria Pulau Pinang”.
Gabungan seni tari, muzik dan lakonan itu dijayakan oleh Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Kesenian Adikarma dari Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan tarian India Guru Shri Arul Manikan, Persatuan Opera Teo Chew Pulau Pinang dan kumpulan Boria Budayasari.
Mengangkat semangat kepelbagaian, karya baharu itu bukan sahaja menzahirkan keunikan warisan budaya negeri malah menjadi simbol kekayaan identiti Malaysia yang harmoni.
Acara diteruskan dengan penuh tertib apabila hadirin diberi penghormatan menyaksikan ucapan alu-aluan Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2025) Datuk Fahmi Fadzil, diikuti ucapan Chow yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia.
Majlis turut menayangkan ucapan rakaman Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak sebelum seluruh dewan memberikan tumpuan penuh tatkala Perdana Menteri menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Malaysia 2025
Acara seterusnya menjadi simbol kemuncak semangat perpaduan apabila Anwar bersama Uggah mewakili Premier Sarawak serta Shahelmey yang mewakili Ketua Menteri Sabah menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 sebagai tekad bersama memelihara keamanan dan memperkukuhkan perpaduan.
PICCA@Arena Butterworth menjadi saksi bagi satu detik bersejarah apabila tiga pemimpin berkenaan menyempurnakan acara simbolik menurunkan tandatangan dalam Buku Khas Sambutan Hari Malaysia sekali gus menjadi lambang perpaduan nasional yang kian utuh.
Majlis sambutan Hari Malaysia 2025 turut diserikan dengan penyampaian hadiah “Kempen Bersama Malaysiaku”, dengan tiga individu berbeza latar belakang terpilih daripada ribuan rakyat yang menghantar foto penyertaan berserta kisah ringkas menggambarkan kehidupan masing-masing, sejak inisiatif itu dilancarkan pada Julai lepas.
Pekebun dari Kampung Sangai Mawang, Serian, Sarawak, Danken Anak Philip, 56, menjadi individu bertuah apabila diumumkan pemenang pertama sekali gus membawa pulang sebuah kereta Proton E.Mas, tempat kedua milik jururawat dari Perak, Mazlina Badrunsaah yang menerima kereta Proton X70 dan ketiga mekanik Shakira Syafiq Othman dari Sarawak, membawa pulang motosikal Modenas.
Sambutan sampai ke kemuncaknya apabila Kapsul Hari Malaysia dibawa masuk ke pentas bersejarah itu untuk perasmian oleh Yang Dipertua Negeri dan disertai Perdana Menteri, Uggah mewakili Sarawak serta Shahelmey mewakili Sabah.
Gimik pancaran laser berwarna-warni dan tayangan video khas menyinari seluruh dewan sekali gus menandakan sempurnanya acara perasmian sambutan, dengan kapsul tersebut melambangkan harapan, amanah serta perpaduan seluruh rakyat Malaysia bagi disimpan untuk masa depan.
Acara diteruskan dengan upacara memotong kek Hari Malaysia 2025 oleh Tun Ramli, satu tradisi manis yang bukan sekadar meraikan ulang tahun tetapi juga melambangkan kemanisan persahabatan, kemakmuran dan keharmonian yang dikongsi bersama dalam semangat “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Satu momen yang menyentuh perasaan apabila Jalur Gemilang dibawa masuk dalam perarakan penuh bangga dan diserahkan kepada Tun Ramli untuk diserahkan pula kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sungai Ara Pulau Pinang bagi upacara menaikkan bendera.
Ribuan penonton menyaksikan upacara ini dengan rasa bangga dan hormat sambil menghayati lambang kedaulatan dan perpaduan negara tercinta.
Lebih menyentuh hati hadirin apabila menyaksikan tayangan video khas yang mengimbas pengisytiharan Hari Malaysia dengan paparan detik penuh bermakna dan bersejarah yang menyatukan rakyat di bawah panji sebuah negara merdeka.
Seterusnya, acara pentas dimulakan dengan persembahan khas Rumpun MADANI oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang menggabungkan instrumen tradisional pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.
Sorakan gemuruh kemudian memenuhi dewan sebaik ratu rock Ella memasuki pentas memulakan persembahan khas menerusi lagu popularnya, “Standing In The Eyes Of The World”, yang disampaikan dengan penuh penghayatan.
Dewan turut bergema apabila penonton turut menyanyikan bersama lagu berunsur patriotik itu yang merupakan lagu tema Sukan Komanwel 1998, hasil ciptaan Wah Idris bersama komposer Amerika Syarikat, David Gates dengan lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan.
Menyusul, pemenang pertandingan realiti “One In A Million” musim pertama Suki Low yang mendendangkan lagu bertajuk “Cai Zhuang” mewakili masyarakat Cina.
Mengambil alih pentas selepas itu Roshini Balachandran dengan lagu “Yennode Macha” yang dipopularkan oleh Zubir Khan.
Lagu itu yang bukan sahaja popular dalam kalangan masyarakat India malah menjadi siulan anak muda pelbagai bangsa, menggamatkan lagi suasana sambutan.
Mewakili Sarawak, penyanyi Rezza Shah yang tampil dengan lagu berkaitan Bumi Kenyalang diberi tajuk “Ohaa Sarawak”, sebelum diikuti lagu “Hanya di Sabah” oleh Dabra Sia.
Persembahan khas 30 minit itu diakhiri dengan penampilan semua artis jemputan di atas pentas menyanyikan lagu “Saya Anak Malaysia” dan “Jalur Gemilang” bersama kumpulan penari sambil mengibarkan bendera bersama-sama hadirin dengan penuh semangat patriotik.
Kesemua persembahan tersebut diiringi OTM Istana Budaya dipimpin Mohd Yazid Zakaria dengan tarian gabungan penari dari Kumpulan Kesenian JKKN, Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang (MKN PP), Kumpulan Tarian Cina Studio 5678 dan Kumpulan Tarian Guru Shri Arul Manikan.
Pertunjukan bunga api yang menerangi langit Butterworth menjadi penutup indah kepada sambutan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama, dengan semangat jiwa merdeka.
-BERNAMA