PETRA JAYA: Malam Gala M.O Sarawak ke-14 serta Grand Finale The Face M.O Sarawak Cycle 8 akan mengangkat tekstil Pua Kumbu sebagai pakaian dan gaun, elemen tradisional dan budaya kumpulan etnik Dayak di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, acara ini akan menjadi malam yang diingati untuk tahun ini.
“la akan menjadi acara yang menandakan pertandingan peragaan yang memberi penekanan kepada peragaan dengan unsur perpaduan yang mencerminkan pengaruh etnik dan budaya Sarawak.
“Malam Gala M.O Sarawak ke-14 serta Grand Finale The Face M.O Sarawak Cycle 8 adalah platform untuk meraikan kecantikan semula jadi dan keyakinan lelaki dan wanita Dayak dalam dunia pertandingan ratu,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.
Penganjur utama, Persatuan Bakat Dayak Sarikei (Sarikei Dayak Talent Association) akan bekerjasama dengan M.O. Sarawak (M.O. Event Management) untuk menganjurkan majlis tersebut dengan harapan untuk mencapai objektif, sambil mempromosikan unsur- unsur tradisi dan budaya kumpulan etnik Dayak di Sarawak.
“Majlis ini akan diadakan di Hotel Meritz Miri, Sarawak pada 21 September. Antara yang hadir ialah selebriti, model, pelakon dan media dari seluruh Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa seramai 800 tetamu dijangka menghadiri majlis itu.
Pada masa sama, M.O Sarawak bakal ditemuramah oleh stesen TV tempatan seperti Selamat Pagi Malaysia TV1, Hello On Two TV2, Wanita Hari Ini TV3, Hijabstaiista Tv9, Malaysia Hari ini TV3 dan Nona TV3 dan penampilan di TV Sarawak.
Misi majlis ini adalah untuk mempromosikan tekstil dan fesyen Pua Kumbu dan gaun dalam industri pelancongan, mendokumentasikan acara tersebut dengan tujuan untuk mengekalkan tradisi dan unsur budaya Pua Kumbu, untuk menggunakan acara ini sebagai platform untuk mempromosikan negara kita sebagai ‘Tanah Keindahan dan Keanggunan’ dan mewujudkan kesedaran tentang kepelbagaian sumber ekonomi melalui industri fesyen.
Oleh Nur Ain Otsman