Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa kembali meriahkan Festival Kuching

Facebook
WhatsApp
XENEX dari Guro, Korea Selatan merupakan antara kumpulan antarabangsa yang akan menghiburkan pengunjung pada Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa sempena Festival Kuching.

KUCHING: Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa sempena Kuching Festival kembali tahun ini dengan pelbagai persembahan kebudayaan menarik daripada bandar-bandar persahabatan di Korea Selatan, China dan Jepun.

Program anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut di Teater MBKS, Taman Kuching (Kuching Park).

Persembahan dijadualkan bermula pada 7.30 malam esok, manakala pada 1 dan 2 Ogos bermula 7.00 malam.

Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa merupakan antara acara kemuncak Festival Kuching yang meraikan hubungan persahabatan antara Kuching Selatan dan bandar-bandar persahabatannya menerusi persembahan kebudayaan, muzik dan seni.

Tahun ini, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan kebudayaan dari Guro, Korea Selatan; Zhenjiang, Zhengzhou dan Quanzhou, China; serta Asuke, Jepun.

Dari Asuke, Jepun, kumpulan Sanshu Asuke Taiko akan mempersembahkan pukulan gendang Taiko tradisional Jepun yang menampilkan keunikan budaya negara itu.

Sementara itu, dari Guro, Korea Selatan, kumpulan K-Pop XENEX akan menghiburkan penonton. Kumpulan itu pernah menghasilkan album single It’s Gonna Hurt dan album mini Next Step, selain membuat penampilan dalam beberapa program muzik popular Korea seperti SBS, MTV, The Show, MBC Show Champion dan Arirang TV.

Delegasi dari Zhengzhou, China pula akan mempersembahkan seni bela diri terkenal dunia, Shaolin Kung Fu, manakala delegasi dari Quanzhou akan menampilkan tarian tradisional China yang mencerminkan kekayaan budaya dan sejarah bandar tersebut.

Delegasi dari Zhenjiang akan mempersembahkan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk muzik menggunakan alat muzik bertali tradisional, kuartet bertali, nyanyian solo, tarian dan persembahan koir.

Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, Malam Bandar Persahabatan Antarabangsa telah menjadi antara program paling popular sepanjang Festival Kuching.

Beliau berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat Kuching menikmati budaya bandar-bandar persahabatan tanpa perlu ke luar negara, selain mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara bandar.

“Saya menjemput orang ramai untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menikmati persembahan yang menarik ini. Jangan lepaskan peluang untuk merasai budaya Korea Selatan, China dan Jepun di sini,” katanya.

Kemasukan adalah percuma dan orang ramai digalakkan hadir lebih awal bagi mendapatkan tempat duduk yang terbaik.

MimiFly ke Indonesia demi Bayan

KUALA LUMPUR: Demi menghidupkan watak Bayan dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM), penyanyi MimiFly sanggup ke Indonesia bagi