Makrami, ‘tali kesabaran’ mengikat kreativiti Nur Anira Akmal

Facebook
WhatsApp
Nur Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, menunjukkan antara hasil seni kraftangan yang menggunakan teknik simpul dan ikatan makrame ketika ditemui BERNAMA di Bandar Lama Pasir Mas baru-baru ini. Foto BERNAMA

PASIR MAS: Bagi Nur Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, setiap ikatan dan simpulan tali yang dibuatnya bukan sekadar penzahiran kreativiti tetapi satu terapi minda yang membantu dia fokus dan menjadi lebih tenang.

Dikenali sebagai seni makrami (macrame), penggiat hanya menggunakan teknik pilin dan simpul tanpa sebarang alat khas bagi mengubah utas-utas tali menjadi bahan hiasan rumah, aksesori pakaian serta pelbagai lagi, dan wanita ini mengibaratkan seni itu sebagai “tali kesabaran”.

“Bagi saya, apabila kita fokus mengikat tali satu demi satu, fikiran menjadi lebih tenang. Oleh sebab itu saya menganggap makrami sebagai terapi seni dan ‘tali kesabaran’,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.

NUR Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, melakukan kerja-kerja menyimpul benang untuk dijadikan gegantung kunci menggunakan teknik simpul dan ikatan makrame ketika ditemui BERNAMA di Bandar Lama Pasir Mas baru-baru ini. Foto BERNAMA

Memiliki ijazah sarjana dalam bidang seni bina landskap daripada Universiti Putra Malaysia, Nur Anira Akmal mula berjinak-jinak dengan seni itu yang dikenalinya menerusi platform YouTube dan Pinterest, pada 2022.

“Pada awalnya saya belajar sendiri. Banyak kali juga saya perlu mengikat dan membuka semula tali apabila tersilap langkah, tetapi proses itu mengajar saya supaya lebih sabar dan tidak mudah berputus asa,” katanya yang meminati kerja tangan sejak di bangku sekolah melalui subjek Ekonomi Rumah Tangga.

NUR Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, memotong lebihan benang pada gegantung kunci ketika ditemui BERNAMA di Bandar Lama Pasir Mas baru-baru ini. Foto BERNAMA

Kini menjadikan kraf makrami sebagai perniagaan sepenuh masa, Nur Anira Akmal berkata tidak banyak yang diperlukan untuk menceburi bidang itu kerana, selain tali, gunting dan aksesori tambahan,  “modal” paling penting ialah kreativiti.

“Saya hasilkan antaranya  pemegang kunci, gelang tangan, tali telefon, hiasan beg, hiasan dinding serta pemegang pasu atau tumbuhan. 

NUR Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, meneliti sebahagian hasil seni kraftangan yang menggunakan teknik simpul dan ikatan makrame ketika ditemui BERNAMA di Bandar Lama Pasir Mas baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Aksesori kecil seperti pemegang kunci dan gelang tangan antara produk yang paling mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan belia dan remaja, manakala hiasan dinding serta pemegang tumbuhan lebih diminati golongan wanita,” ujarnya.

Tambahnya, satu pemegang kunci dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 15 minit, manakala hiasan dinding yang lebih besar mengambil masa antara dua hingga tiga hari bergantung pada saiz dan kerumitan reka bentuk.

ANTARA hasil seni kraftangan yang menggunakan teknik simpul dan ikatan makrame Nur Anira Akmal Che Ab Aziz, 34, yang menjadi pilihan pelanggan ketika ditemui BERNAMA di Bandar Lama Pasir Mas baru-baru ini. Foto BERNAMA

Menurut pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur ini, kebanyakan reka bentuk krafnya diinspirasikan daripada unsur alam semula jadi seperti bunga dan daun, selari dengan latar belakang akademiknya.

Selain itu, Nur Anira Akmal berkata pengalamannya selama enam tahun sebagai penasihat floris di Kuala Lumpur banyak membantunya menghasilkan rekaan yang lebih kreatif, memahami kehendak pelanggan dan memasarkan hasil kraf.

“Saya juga banyak menyertai pameran serta acara seumpama, di mana kraf makrami yang saya hasilkan kerap menerima perhatian pelancong asing seperti dari Tunisia, India dan Perancis,” katanya, menambah dia juga yakin kraf yang dihasilkannya mampu menembusi pasaran antarabangsa suatu hari nanti. 

Dengan harga serendah RM10 bagi aksesori kecil hingga hampir RM200 bagi hiasan dinding, Nur Anira Akmal yang menerima sokongan penuh suami, Khairie Asraf Khaidir, 33, berharap dapat merealisasikan impian memiliki studio sendiri serta membuka ruang bengkel untuk berkongsi ilmu dan kemahiran seni makrami dengan lebih ramai peminat kraf.- Bernama

Hidup tidak akan sama

KITA sering berharap agar hari esok menjadi sambungan kepada hari ini. Kita mahu kesihatan yang sama, pekerjaan yang sama, keluarga