BINTULU: Hospital Bintulu kini mempunyai Makmal Kateterisasi Jantung (Cardiac Catheterization Laboratory – Cath Lab) kedua di Sarawak selepas Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, kejayaan itu adalah hasil usaha kutipan dana melalui Yayasan Jantung Sarawak, dengan sokongan syarikat Petros dan Press Metal, yang menyumbang lebih RM2 juta bagi membolehkan unit radiologi hospital berkenaan dinaik taraf menjadi pusat kardiologi.
“Kini, kita boleh melihat saluran arteri jantung yang tersumbat.
“Sebelum ini, hospital swasta di Bintulu tidak mempunyai teknologi untuk mendiagnosis masalah jantung seperti ini,” katanya kepada pihak media semasa lawatan beliau ke Makmal Kateterisasi Jantung di Hospital Bintulu, hari ini.
Jelas beliau, Makmal Kateterisasi Jantung atau Cath Lab memainkan peranan penting dalam rawatan serangan jantung, di mana pesakit yang mengalami saluran arteri tersumbat boleh mendapatkan rawatan segera tanpa perlu dirujuk ke Kuching atau hospital lain.
“Kadangkala, jika saluran darah tersumbat, ubat sahaja tidak mencukupi untuk melancarkan kembali aliran darah.
“Oleh itu, pakar kardiologi intervensi seperti Dr Ong Tiong Kiam diperlukan untuk melakukan prosedur menggunakan wayar halus sebesar sehelai rambut,” jelasnya.
Teknologi itu, katanya, membolehkan prosedur angioplasti dilakukan dengan memasukkan wayar melalui tangan pesakit ke jantung, sebelum menggunakan belon untuk membuka saluran yang tersumbat dan memasang ‘stent’ bagi memastikan ia kekal terbuka.
“Dahulu, pesakit perlu menjalani pembedahan jantung terbuka, tetapi kini dengan teknologi ini, pesakit boleh dirawat pada waktu pagi dan berjalan keluar dari hospital pada sebelah petang,” tambahnya.
Dengan adanya Cath Lab, Hospital Bintulu menjadi pusat satelit mini untuk rawatan jantung di Sarawak, membolehkan penduduk sekitar mendapatkan rawatan dengan lebih cepat dan cekap.
Dr Sim turut memuji usaha doktor dari Pusat Jantung Sarawak yang bersedia berkhidmat secara giliran di Bintulu bagi memastikan rawatan tersebut dapat diberikan kepada lebih ramai pesakit.
“Semalam, mereka telah melakukan enam prosedur, dan hari ini lima lagi.
“Ini hanya permulaan, dan saya yakin pusat ini akan berkembang dengan pesat,” ujarnya.
Dengan kemudahan tersebut, rakyat Bintulu dan kawasan sekitarnya sekarang mempunyai akses yang lebih baik kepada rawatan penyakit jantung tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke Kuching.
Oleh Carolyne Utih