
KUCHING: Orang ramai diminta berwaspada terhadap sebarang maklumat berkaitan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang tular di media sosial kerana ia adalah palsu dan tidak benar.
Menurut kenyataan rasmi, semakan penerima SKAS 2026 masih belum dibuka dan sebarang dakwaan kononnya proses pendaftaran atau pengkreditan bantuan telah bermula adalah tidak sah.
Kerajaan Sarawak turut menegaskan bahawa tiada sebarang akaun media sosial rasmi SKAS pernah diwujudkan setakat ini.
“Sebarang maklumat yang disebarkan melalui media sosial berkaitan SKAS 2026 adalah palsu dan tidak benar,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau berkongsi maklumat yang tidak disahkan, termasuk pautan atau hantaran mencurigakan yang menggunakan nama SKAS.
Semua pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan SKAS 2026 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Oleh Shahrul Qaizat