BETONG: Kejohanan Bola Sepak Liga Betong 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang menyaksikan pasukan Makarion FC dinobatkan sebagai juara baharu selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Hermanos FC pada aksi perlawanan akhir di Padang Kompleks Sukan Betong, petang kelmarin.
Perlawanan berprestij itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang sejak wisel permulaan ditiupkan.
Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan apabila masing-masing saling berbalas serangan sambil memperkemaskan benteng pertahanan.
Memasuki separuh masa, Makarion FC meningkatkan rentak permainan dengan melancarkan serangan lebih tersusun sebelum berjaya menghasilkan tiga gol untuk mengesahkan kejuaraan.
Kemenangan itu membolehkan Makarion FC membawa pulang piala pusingan, pingat serta wang tunai RM5,000.
Hermanos FC selaku naib juara menerima piala, pingat dan wang tunai RM3,000, manakala Pusa District FC serta CrossOver FC berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing membawa pulang piala, pingat dan wang tunai RM1,000.
Anugerah Penjaring Terbanyak dikongsi oleh Mohd Zulfadli Tahir dari Hermanos FC dan Mohammad Zainudin Bohri dari Makarion FC selepas masing-masing menjaringkan sembilan gol sepanjang kejohanan.
Penjaga gol Makarion FC, Mohammad Alfaiza Mohd Zolkifli pula dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala Samuel Shane Graman dari Makarion FC menerima Anugerah Pemain Harapan Bawah 19 Tahun.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, kejohanan itu membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan bola sepak di Bahagian Betong.
Beliau berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah mengukuhkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Kejayaan penganjuran edisi kali ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan sukan bola sepak tempatan, di samping menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu serta memupuk semangat perpaduan masyarakat di Bahagian Betong.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada jawatankuasa penganjur, pegawai perlawanan, para pemain serta seluruh penyokong yang hadir memberikan sokongan padu demi memartabatkan arena bola sepak Betong ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Oleh Adi Safarman




