
BEKENU: Tradisi Makan Tujuh atau Tujuh Likur dalam masyarakat Kedayan terus dipelihara sebagai wadah, bagi mengeratkan hubungan komuniti serta mengimarahkan Ramadan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, sambutan itu lazimnya diisi dengan solat berjemaah, bacaan tahlil dan jamuan makan bersama yang menghimpunkan penduduk kampung.
“Masyarakat Kedayan mempunyai cara tersendiri meraikan Tujuh Likur yang dikenali sebagai Makan Tujuh, yang kebiasaannya, dengan bacaan tahlil di surau dan masjid serta jamuan makan bersama penduduk.
“Bagi kita, kita tidak menggunakan istilah Tujuh Likur, sebaliknya kita mengadakan acara tahlil, khususnya dalam tempoh Tujuh Likur ini yang dikenali sebagai Makan Tujuh, di mana bacaan tahlil diadakan di setiap surau,” katanya.
Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Ziarah Ramadan dan Makan Malam Tujuh Likur di Kampung Selanyau dan Kampung Terahad di sini, malam tadi.
Tambahnya, sepanjang Ramadan, pihaknya juga mengadakan program Ziarah Ramadan bersama pemimpin masyarakat dan rakan parti, bagi mendekati penduduk serta mendengar maklum balas berkaitan keperluan pembangunan dan kebajikan.
Program itu melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum dan penduduk setempat itu turut diimarahkan dengan solat berjemaah, bacaan tahlil serta jamuan makan.
Pada program itu, Rosey turut menyerahkan 15 bakul makanan di Kampung Selanyau dan Terahad bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk yang kurang berkemampuan.
Oleh Adum Liu