Majoriti IPU Sarawak menurun, IPD Serian kekal lebih 200

Facebook
WhatsApp
IPD Serian mencatat IPU tertinggi 203 pada tahap sangat tidak sihat, manakala 11 kawasan lain berada pada tahap tidak sihat setakat 8.00 malam ini.

KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak masih belum reda apabila 12 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat 8.00 malam ini.

IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 203, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.

Lubok Antu pula menghampiri tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 197, diikuti Sri Aman (182), Kuching (172), Samarahan (171), Sarikei (168), Lundu (167), Tebedu (159), Samalaju (156), Bintulu (155), Sibu (154) dan Mukah (144), kesemuanya pada tahap tidak sihat.

Sementara itu, enam kawasan merekodkan tahap sederhana iaitu Kapit (97), Miri (82), ILP Miri dan Lawas masing-masing (78), Bario (69) serta Limbang (67).

Berbanding bacaan 4.00 petang, IPU di IPD Serian menunjukkan penurunan daripada 217 kepada 203, manakala Lubok Antu turun daripada 205 kepada 197.

Kuching turut menunjukkan penurunan daripada 181 kepada 172, manakala Samarahan meningkat sedikit daripada 170 kepada 171.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.

Tahap sangat tidak sihat boleh memburukkan keadaan kesihatan serta mengurangkan toleransi terhadap aktiviti fizikal khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru, selain menjejaskan kesihatan awam.