
PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung ke-16 berakhir Ahad lalu, antara lain meluluskan usul penubuhan Majlis Yang DiPertua (YDP).
Ia dikatakan akan berfungsi sebagai mekanisme baharu bagi mempercepatkan proses membuat keputusan dalam situasi mendesak.
Majlis ini akan dianggotai enam anggota iaitu Presiden, dua Timbalan Presiden, dua Naib Presiden Kanan dan Setiausaha Agung parti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ialah presiden parti dengan dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Presiden.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom sebagai Naib Presiden Kanan. Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi pula ialah Setiausaha Agung parti.
Menurut Uggah, Majlis YDP bertujuan membolehkan perbincangan segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), yang selalunya mengambil masa lebih lama untuk diadakan, sebagai mekanisme untuk mempercepatkan proses membuat keputusan mengenai hala tuju parti.
Sebenarnya, perkara ini bukan baharu, cuma mungkin nama dan anggotanya berbeza tetapi fungsi lebih kurang sama – badan khas paling berkuasa dalam parti.
PBB sudah meminda perlembagaannya pada 2002 dengan mewujudkan kaukus atau majlis khas. Keahliannya terhad kepada wakil rakyat PBB sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Penulis pernah mengupas isu berkaitan sebelum ini. Ketika Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, dipilih sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari 2014, kaukus ini mula berfungsi secara rasmi.
Semua ahli kaukus berkumpul dalam satu bilik khas, kerana ketika itu mereka perlu memilih seorang daripada tiga nama iaitu Abang Johari, Awang Tengah selain Tok Nan.
Namun, kaukus membuat keputusan menyerahkan kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk membuat keputusan muktamad siapa penggantinya sebagai Ketua Menteri kelima.
Ketika ahli kaukus membuat keputusan itu, Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah diminta keluar secara terhormat dan menunggu di luar bilik.
Sepatutnya dalam keadaan seperti itu, ahli kaukus membuat undian andai berlaku lebih daripada satu nama sebagai pengganti Taib jika konsensus gagal dicapai.
Dalam masa singkat, ahli kaukus memutuskan untuk menyerah sepenuhnya keputusan di tangan Tun Taib, siapa yang dirasakannya layak untuk mengganti beliau.
Situasi ini berlaku setelah Taib menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri kepada Yang di-Pertua Negeri ketika itu, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada 12 Februari 2014.
Beliau kemudian menerima pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh daripada Yang di-Pertuan Agong di pada 28 Februari 2014.
Setelah ahli kaukus membuat keputusan untuk menyerahkan kepadanya membuat keputusan muktamad, Taib mengumumkan Tok Nan sebagai Ketua Menteri.

HIERARKI DALAM PARTI
Ketika itu, jika mengikut hierarki dalam parti, Abang Johari paling senior selaku Timbalan Presiden tetapi setelah kewujudan kaukus, ‘senioriti’ dalam parti bagaikan ‘tidak terpakai’.
Apabila sistem pemilihan kaukus PBB diperkenalkan pada 2002, antara lain mengesyorkan jawatan ketua menteri tidak semestinya bergantung pada hierarki parti.
Hal ini terbukti apabila Tok Nan dilantik menjadi Ketua Menteri yang ketika itu hanyalah Naib Presiden Kanan PBB dan memegang jawatan Ketua Penerangan PBB.
Tetapi satu sumber ketika itu memberitahu, kekananan dalam parti masih terpakai kerana apabila berlaku undian, ahli kaukus sudah pasti melihat kepada soal kekananan seseorang itu dalam parti ketika membuat penilaian.
Berdasarkan kes pelantikan Tok Nan, kaukus sebenarnya belum berfungsi sepenuhnya kerana membuat keputusan untuk menyerah kepada Tun Taib membuat keputusan dan akhirnya memilih Tok Nan.
Tetapi Abang Johari tidak merajuk, malah memberi komitmen dan sokongan 100 peratus kepada Tok Nan.
Malah, dalam ucapannya pada majlis keramaian selepas itu, Abang Johari meminta rakyat untuk terus menyokong serta memberi peluang kepada Tok Nan memimpin Bumi Kenyalang.
Sikap inilah perlu dipelajari pemimpin muda dalam PBB sekarang – bersabar, jangan cepat merajuk dan melatah. Inilah kelebihan Abang Johari. Tok Nan menjadi Ketua Menteri mulai 28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017.
Apabila Tok Nan meninggal dunia pada 11 Januari 2017, Abang Johari dipilih sebagai Ketua Menteri (kemudian dinamakan sebagai Premier Sarawak) mulai 13 Januari 2017 hingga sekarang.
Pelantikan Abang Johari untuk memimpin Sarawak menggunakan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Di bawah Perkara 6(3)(a) Perlembagaan Negeri
Sarawak memperuntukan kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk memilih Ketua Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.
Menurut peruntukan tersebut, ia berdasarkan penilaian Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang merumuskan bahawa seseorang ADUN itu mendapat keyakinan majoriti anggota DUN untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Pelantikan Abang Johari misalnya, menggunakan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak tersebut.

BEZA YDP, KAUKUS
Persoalannya ialah apakah bezanya Majlis YDP sekarang berbanding majlis khas atau kaukus sebelum ini?
Apakah Majlis YDP akan turut diguna pakai untuk menentukan pemegang jawatan Premier Sarawak selepas ini, seperti mana berlaku apabila sistem kaukus mula diguna pakai ketika melantik Tok Nan sebagai Ketua Menteri 11 tahun lalu?
Ahad lalu, Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak, tidak menjelaskan secara terbuka butiran terperinci apabila mengumumkan penubuhan Majlis Yang Dipertua PBB setelah usul mengenainya diluluskan pada perhimpunan agung parti.
Sebaliknya, beliau memberi contoh kepada pengalaman ketika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum sebelum ini (2018), apabila keputusan untuk keluar BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerlukan tindakan pantas.
Ketika itu, katanya, Premier Sarawak telah mengadakan perbincangan segera dengan beberapa pemimpin utama sebelum keputusan dimuktamadkan.
Yang nampak bezanya apabila Uggah menyatakan bahawa Majlis YDP itu bukanlah pengganti kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada struktur sedia ada.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Majlis YDP masih perlu dibawa ke MKT untuk diperhalusi dan disahkan.
“Ini bukan soal kuasa, tetapi lebih kepada kecekapan dalam pengurusan parti. MKT masih lagi bahagian penting dalam parti.
Majlis YDP adalah untuk mempercepatkan kemampuan kita membuat keputusan ketika berdepan isu-isu tertentu yang perlu diselesaikan secepat mungkin.
Ini satu perubahan besar dalam PBB kerana kita ada satu lagi lapisan, selain perhimpunan agung dan MKT,” katanya.
Namun dalam budaya politik PBB, mereka lebih selesa menyerahkan budi bicara presiden parti untuk membuat keputusan.
Hal ini dilakukan atas semangat perpaduan dan kekeluargaan agar peralihan kuasa berjalan lancar.
Sistem kaukus ini sebenarnya diamalkan oleh negara maju seperti Kanada dan New Zealand.
Dalam Sistem Westminster, kaukus parti sangat berpengaruh dan dapat memilih atau menolak pemimpin parlimen parti.
Sistem kaukus parti dalam PBB hampir sama dengan sistem kaukus yang terdapat dalam parti PAP di Singapura, parti Labor di Australia dan Parti Labour di New Zealand.
Sistem kaukus pada asalnya diperkenalkan di Amerika Syarikat sebelum dikembangkan dan diguna pakai oleh parti politik di Australia, Kanada, New Zealand dan Afrika Selatan.
Di Sarawak, sistem kaukus dicadangkan dalam pada Perhimpunan Agung PBB pada 2002 oleh Abang Johari, selaku Timbalan Presiden II ketika itu dan disokong oleh Timbalan Presiden I, iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Usul itu dipersetujui dan diluluskan sebulat suara semua perwakilan dan ini bermakna sudah diterima pakai dalam perlembagaan PBB.
Kita sama-sama renungi kenyataan Abang Johari dalam sesi temubual bersama media tempatan sebelum berlangsungnya konvensyen PBB baru-baru ini:
“Peralihan kepimpinan adalah satu realiti yang perlu diterima, terutama apabila generasi pemimpin sedia ada semakin menghampiri penghujung tempoh perkhidmatan mereka.
“Konvensyen ini adalah konvensyen transisi. Jika kita lihat, daripada kedudukan kami yang memimpin PBB sekarang, majoriti menjangkau usia 70an. Dan realitinya, kita tidak dapat berkhidmat lebih jauh.”
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.