
LAWAS: Pembangunan pesat Sarawak hari ini dibina atas asas panduan al-Quran dan sunnah, yang menjadi tunjang dalam memastikan kemajuan negeri tidak mengetepikan aspek kerohanian, perpaduan dan keadilan sosial.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kemajuan Sarawak bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal, malah turut mengambil kira keharmonian kaum, nilai moral dan pengukuhan rohani rakyat.

βal-Quran mengajar kita bahawa kemajuan sebenar bukan hanya dilihat pada infrastruktur, tetapi juga pada ketakwaan, perpaduan dan saling menghormati antara sesama manusia walaupun berbeza latar belakang,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Limbang 1447H/2025M yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Lawas, malam tadi.

Mengulas ayat 13 dari Surah Al-Hujurat, beliau berkata ayat tersebut menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang bertakwa dan bersatu walaupun hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama.
Majlis tilawah selama dua hari (4β5 Oktober) itu menyaksikan 12 peserta qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Qari dan qariah dari Daerah Lawas diumumkan sebagai johan bagi tahun ini, dengan kemenangan diraih oleh Mohd Wardi Nordin (kategori qari) dan Eza Nurumaiza Japarudin (kategori qariah).
Turut hadir Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi selaku Pengerusi Pengelola, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Enggal dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Oleh Adeng Edrus