Majlis Tilawah al-Quran Daerah Tatau berjaya himpunkan 12 qari dan qariah

Facebook
WhatsApp
RAKAM kenangan bersama para peserta Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau Tahun 2026M/1448H yang berlangsung di Masjid Baru Daerah Tatau.

TATAU: Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau Tahun 2026M/1448H yang berlangsung semalam di Masjid Baru Daerah Tatau berjaya menghimpunkan para qari, qariah serta masyarakat setempat dalam usaha menyemarakkan syiar Islam dan memperkukuh kecintaan terhadap al-Quran.

Majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Tatau (JTAIT) itu disempurnakan oleh Pengurus Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu, Abu Bakar Husaini yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.67 Jepak, Iskandar Turkee, merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu.

Dalam ucapan perasmian penangguhan, Abu Bakar berkata, Majlis Tilawah al-Quran bukan sekadar pertandingan tahunan, malah merupakan platform penting untuk memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran serta melahirkan generasi yang menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup.

Beliau berkata, penganjuran majlis tersebut turut berperanan memilih wakil terbaik Daerah Tatau untuk menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian, di samping menggalakkan lebih ramai umat Islam mendekati, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

“Majlis Tilawah al-Quran bukan sekadar medan pertandingan, tetapi satu wadah untuk menyemai rasa cinta terhadap al-Quran serta mengukuhkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat. Saya berharap program seperti ini akan terus melahirkan generasi yang bukan sahaja fasih membaca al-Quran, malah mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian,” katanya.

JUARA QARIAH… Norehan Matnor muncul sebagai johan kategori qariah pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau Tahun 2026M/1448H di Masjid Baru Daerah Tatau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Tatau, khususnya Pejabat Daerah Tatau, atas komitmen dalam menjayakan program tersebut.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran itu adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh (PPDTS), Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau, Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Ahli Jawatankuasa Masjid Baru Daerah Tatau, sekolah-sekolah sekitar Tatau, ketua kampung serta masyarakat Islam setempat.

Seramai 12 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini, terdiri daripada lapan qari dan empat qariah. Abu Bakar turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas kesungguhan dan keberanian mempersembahkan bacaan al-Quran dengan penuh penghayatan.

“Kepada para johan yang akan mewakili Daerah Tatau ke peringkat bahagian, saya mengucapkan selamat maju jaya. Teruskan usaha mempertingkatkan mutu bacaan dan semoga berjaya mengharumkan nama daerah di pentas yang lebih tinggi,” katanya.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau diadakan secara bergilir antara Pekan Tatau dan Kuala Tatau. Bagi tahun 2026, penganjurannya berlangsung di Masjid Baru Daerah Tatau yang menjadi mercu tanda kebanggaan masyarakat setempat.

JUARA QARI… Nur Amirul Hafizi Nordin dinobatkan sebagai johan kategori qari pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau Tahun 2026M/1448H di Masjid Baru Daerah Tatau.

Bagi kategori qariah, Norehan Matnor muncul sebagai johan, diikuti Saliana Marsat di tempat kedua, manakala Mazuin Majdnie @ Madeni menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, Nur Amirul Hafizi Nordin dinobatkan sebagai johan bagi kategori qari, diikuti Matnor Keli di tempat kedua dan Mohd Zainudin Ismail di tempat ketiga.

Semua johan akan mewakili Daerah Tatau ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian dengan harapan dapat meneruskan kecemerlangan serta mengharumkan nama daerah di peringkat lebih tinggi.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tatau bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat qari dan qariah, malah terus memperkukuh syiar Islam, menyemai kecintaan terhadap al-Quran serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam di daerah itu.

Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Tatau (JTAIT) Raden Azamry Raden Perhan yang mewakili Pegawai Daerah Tatau, Pegawai Hal Ehwal Islam Muhamad Rahiman Malim yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Bintulu Naib Pengerusi Masjid Baru Daerah Tatau Rahafiz Rosland, Ahli Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu merangkap Ketua Wanita Cawangan PBB DUN N.67 Jepak Noriha Ali serta Penghulu Haliza Mudin.

Oleh Faizah Muzidi