
LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu telah mengadakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) bertempat di Bilik Mesyuarat IPD Lubok Antu, pagi tadi.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin dan dihadiri seramai 22 orang warga IPD Lubok Antu yang terdiri daripada Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis serta Pegawai Awam Polis.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka Biru, diikuti bacaan doa sebelum diteruskan dengan sesi menandatangani Nota Serah Terima Tugas Jawatan KBPD IPD Lubok Antu.
Sesi serah terima tugas itu melibatkan Inspektor Mohd Nurfikri selaku pegawai penyerah tugas dan Inspektor Jefferson Junit Sebastian sebagai pegawai penerima, yang disempurnakan dalam suasana penuh tertib dan profesional.

Serah terima jawatan tersebut diadakan susulan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis (Inspektor) Bil. 22/2025 bertarikh 28 November 2025, yang menyaksikan Inspektor Mohd Nurfikri ditukarkan ke jawatan Pegawai Penyiasat Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sentul, Kuala Lumpur.
Dalam majlis yang sama, Inspektor Jefferson Junit Sebastian telah dilantik untuk memangku tugas Ketua Bahagian Pengurusan Daerah IPD Lubok Antu bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran urusan pentadbiran serta pengurusan daerah.
DSP Pricha Azin dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas khidmat bakti dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh Inspektor Mohd Nurfikri sepanjang berkhidmat di IPD Lubok Antu, selain berharap Inspektor Jefferson Junit Sebastian dapat meneruskan kecemerlangan pengurusan jabatan.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati, nyanyian lagu Polis Sedia Berkhidmat serta jamuan ringan, dan keseluruhan acara berlangsung dengan lancar, teratur serta penuh semangat kekeluargaan.
Oleh Adi Safarman