BINTULU: Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat Pejabat Residen Bahagian Bintulu bertarikh 21 Ogos 2026 kepada semua kontinjen Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Bintulu 1448H/2026M.
Pembatalan itu selaras dengan arahan Majlis Islam Sarawak yang tidak membenarkan semua aktiviti luar sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M di seluruh Sarawak berikutan keadaan jerebu semasa.
Menurut Majlis Islam Sarawak, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan jerebu serta nasihat agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terpelihara.
Bagaimanapun, majlis kesyukuran di masjid dan surau masih boleh diadakan, tertakluk kepada keadaan setempat serta nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Susulan keadaan jerebu yang melanda, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan, mengehadkan aktiviti di luar dan mengurangkan pendedahan kepada udara berjerebu, terutama sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.
Dalam pada itu, umat Islam dan masyarakat Sarawak turut bersama-sama berdoa agar bencana jerebu segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.
Pejabat Residen Bahagian Bintulu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan berkenaan serta merakamkan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan semua pihak.
Oleh Faizah Muzidi




