
MARUDI: Perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak merupakan asas kekuatan serta kestabilan politik negeri ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, rakyat Sarawak perlu terus mempertahankan amalan hidup aman, damai dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita tidak mahu unsur ekstremisme kaum, agama atau politik yang boleh memecahbelahkan rakyat menyerap masuk ke Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Gawai Peringkat Daerah Marudi anjuran Jawatankuasa Pembangunan Poyut Lubok Nibong (PPLN) dengan kerjasama Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi di Dewan Suarah Marudi, malam tadi.
Menurut beliau, perpaduan rakyat Sarawak turut menjadi faktor negeri ini dihormati serta diberikan peranan penting dalam Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Sarawak bukan sahaja mengiktiraf kepelbagaian masyarakat, malah sentiasa menggalakkan setiap etnik mengekalkan serta mempromosikan budaya dan tradisi masing-masing.
Majlis yang bertemakan ‘Kumbu’ itu dihadiri lebih 600 peserta pelbagai kaum dan agama.
Gerawat berkata, sambutan tersebut menunjukkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat, selain memuji usaha Jawatankuasa PPLN yang aktif menganjurkan program kemasyarakatan dan kebudayaan.
“Semangat kerjasama ini perlu dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.
Beliau berkata, perayaan Gawai merupakan tanda kesyukuran atas rezeki dan kejayaan yang dikurniakan sepanjang tahun.
Katanya, budaya rumah terbuka di Malaysia sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Krismas dan Gawai merupakan amalan unik yang mengeratkan hubungan antara kaum.
“Amalan ini penting kerana menjadi ruang untuk kita mengeratkan silaturahim, memperkukuh persefahaman dan memupuk keharmonian,” katanya.
Tambah beliau, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sarawak bukan penghalang perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan utama rakyat negeri ini.
Dalam majlis sama, Gerawat mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Pra-Gawai 2026 sebagai tanda penghargaan.
Oleh Jiku Juguong