
KUCHING: Majlis Pelantikan dan Anugerah JCI Damai ke-38 berlangsung dengan jayanya di The Mandarin Restaurant, di sini, pada Ahad lalu, menghimpunkan barisan pemimpin serta ahli dari seluruh negara.
Majlis yang bermula sekitar jam 11.00 pagi itu dipengerusikan oleh Karen Sim dan diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Dato Lo Khere Chiang.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan ahli daripada pelbagai organisasi tempatan termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Kelantan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan warga JCI.

Kemuncak acara menyaksikan upacara penyerahan jawatan daripada Presiden Tempatan 2025, Sean Wong kepada Presiden Tempatan 2026, Vivizona Lee sebagai simbol kesinambungan kepimpinan.
Dalam ucapannya, Lo Khere Chiang merakamkan penghargaan terhadap perkembangan pesat JCI Damai sepanjang empat tahun kebelakangan ini, selain memuji komitmen Lembaga Pengarah 2025.
Beliau turut menggesa kepimpinan baharu agar terus memimpin dengan keberanian, semangat perpaduan serta visi yang jelas demi memperkukuh organisasi.
Sementara itu, Vincent Leng menekankan tema nasional ‘Power of One’ yang membawa maksud kekuatan luar biasa apabila semua ahli bersatu sebagai satu pasukan.
Beliau juga menggalakkan golongan muda untuk menyertai JCI lebih awal bagi memulakan perjalanan kepimpinan serta menegaskan bahawa hubungan persahabatan dalam JCI mampu berkekalan sepanjang hayat.
Dalam masa sama, beliau mengiktiraf hubungan antarabangsa JCI Damai termasuk kerjasama dengan Korea serta menyokong aspirasi ‘Road to 5000’.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada ahli yang menunjukkan dedikasi dan kepimpinan cemerlang sepanjang tahun lalu.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini menandakan permulaan baharu buat JCI Damai dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa serta terus memberi impak positif kepada masyarakat.
Turut hadir, Presiden Kebangsaan Junior Chamber International Malaysia, Vincent Leng serta Presiden Senat Junior Chamber International Malaysia, Tham Chin Yuh.
Oleh Norman B