
SEBAUH: Pekan Sebauh bakal mengalami perubahan besar dengan pelaksanaan beberapa projek pembangunan utama yang bertujuan meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, projek pembinaan masjid baharu di Pekan Sebauh akan dimulakan dengan majlis pecah tanah pada 1 Mac ini.
“Projek ini telah diberikan kepada kontraktor, dan mereka akan memulakan kerja dalam masa terdekat,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, pembinaan stadium juga akan dimulakan sebaik sahaja proses berkaitan diselesaikan.
Katanya lagi, reka bentuk gereja telah dihantar kepada Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA), dan kini menunggu kelulusan sebelum diberikan kepada kontraktor.
“Projek ‘waterfront’ yang dirancang untuk menambah daya tarikan pekan Sebauh juga telah siap dari segi reka bentuk dan dijangka dilancarkan tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Perpaduan Tahun Baharu Cina Sebauh 2025 di Sebauh, malam tadi.
Dalam majlis itu, Dr Rundi turut mengajak seluruh penduduk pekan Sebauh untuk mengikuti program gotong-royong yang akan diadakan pada 2 Mac depan bagi membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
“Jadi, saya menyeru penduduk Pekan Sebauh dan semua ketua masyarakat di sekitar termasuk saya sendiri, datang dan bergotong-royong bersama.
“Kita juga mungkin akan bersembahyang sebagai tanda syukur kepada Tuhan kerana semuanya selamat semasa berdepan dengan cabaran banjir besar baru-baru ini,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih