
SIBU: Majlis Perhimpunan Krismas Antara Keagamaan anjuran Persatuan Gereja-Gereja Di Sarawak (ACS) menjadi wadah penting dalam mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat berbilang agama di bandar ini.
Pengerusi ACS Cawangan Sibu, Venerable Archdeacon Jose Jol Endru berkata, majlis ini membawa makna yang besar kerana menghimpunkan wakil agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian serta kepercayaan lain dalam satu majlis yang melambangkan perpaduan sebenar
“Melalui majlis ini kita dapat duduk bersama sebagai satu keluarga walaupun datang daripada latar belakang agama yang berbeza,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Jose menegaskan, keharmonian antara agama merupakan asas utama kepada pembinaan negara dan pembangunan masyarakat, terutamanya di Sarawak yang terkenal dengan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.
“Keharmonian ini membolehkan kita hidup bersama, makan bersama dan saling menghormati. Pengalaman negara-negara lain yang bergolak menjadi pengajaran betapa pentingnya keamanan dan perpaduan,” ujarnya.
Katanya, perpaduan yang dinikmati kini bukan sesuatu yang mudah dicapai, sebaliknya hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu yang perlu dipelihara demi kesejahteraan masa depan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan keamanan ini terus terpelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” kata beliau.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting serta sekitar 100 tetamu terdiri daripada pemimpin pelbagai agama, ketua-ketua gereja serta wakil masyarakat berbilang kaum dan agama.
Oleh Akun Giman