
NIAH: Suasana penuh kemeriahan dan keakraban jelas dirasai pada Majlis Jom Berambeh Raya Sri Tanjung malam tadi, menghimpunkan warga Sekolah Kebangsaan Tanjung Belipat (SKTB) bersama ibu bapa serta penduduk setempat.
Kemeriahan itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Rosey, penganjuran majlis seumpama ini bertujuan menyemai nilai murni dalam diri generasi muda selain menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform meraikan Aidilfitri, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti sekolah dan masyarakat sekitar dalam suasana harmoni dan penuh kekeluargaan.
“Syawal bukan sekadar meraikan kemenangan selepas Ramadan, tetapi juga peluang untuk kita kembali bertaut, memperkukuh hubungan serta memupuk nilai-nilai positif dalam kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTB Razid Jamir berkata, SK Tanjung Belipat terus memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan dalam membentuk sahsiah serta kecemerlangan generasi masa depan.
“Usaha pihak sekolah bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik, malah turut memberi penekanan kepada pembentukan nilai sahsiah, adab dan kemanusiaan dalam kalangan murid.
“Majlis ini menjadi platform berkesan dalam mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan murid. Program tersebut juga memberi peluang kepada murid untuk memahami serta menghormati budaya dan adat masyarakat setempat,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti santai yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan umur.
Para hadirin dilihat menikmati pelbagai juadah tradisional sambil beramah mesra, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan penduduk setempat.
Justeru itu, penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu