
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan, meminta Majlis Islam Sarawak (MIS) membantu pengoperasian Mahad Tahfiz di Lawas yang kini hampir siap dibina.
Beliau berkata, bantuan itu melibatkan aspek pengoperasian akademik, sumber manusia serta perkara berkaitan bagi memastikan pusat tahfiz berkenaan beroperasi mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Sarawak.
“Bangunan untuk Mahad Tahfiz di Lawas hampir siap. Jadi, jika boleh MIS membantu dari sudut pengoperasian akademik, sumber manusia dan perkara berkaitan.
“Begitu juga agensi di bawah kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diharap dapat membantu dari segi khidmat nasihat serta peruntukan kewangan bagi penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Perdana Daerah Lawas di Masjid Dato Pengiran Matussin, Kampung Dato Kuala Lawas, petang semalam.
Mahad Tahfiz Daerah Lawas yang hampir siap itu dibina menerusi peruntukan Northern Region Development Agency (NRDA) bagi menempatkan kelas hafazan al-Quran di daerah tersebut.
Awang Tengah turut menegaskan pengurusan mahad tahfiz berkenaan perlu dilaksanakan selaras dengan peraturan dan garis panduan Jabatan Agama Islam Sarawak serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memastikan pendidikan yang diterapkan berpandukan al-Quran dan sunnah.
Dalam pada itu, beliau berharap JAKIM dapat turut membantu dari segi khidmat nasihat serta peruntukan tahunan bagi menyokong operasi mahad tahfiz berkenaan.
Usaha tersebut merupakan antara pendekatan untuk melahirkan generasi yang mampu memelihara kesucian al-Quran pada masa hadapan.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Misnu Taha; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohd Ajib Ismail; Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas, Dayang Morliah Awang Daud; serta Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Oleh Adeng Edrus