
KUCHING: Majlis bersungkey yang dianjurkan Senator Dato’ Ahmad Ibrahim bersama komuniti di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Ahli Parlimen Dewan Negara itu berkata, majlis yang dihadiri kira-kira 110 jemputan daripada pelbagai latar belakang masyarakat tersebut merupakan tradisi yang telah beliau anjurkan sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurutnya, program seumpama itu bertujuan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti serta wakil agensi kerajaan dalam suasana penuh harmoni.
“Majlis seperti ini sebenarnya sudah saya lakukan lebih daripada 20 tahun dalam pelbagai kapasiti dan di beberapa lokasi di sekitar Kuching.
“Tujuan utamanya adalah untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk persefahaman antara masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, NGO, pemimpin komuniti dan juga agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Bersungkey Bersama Komuniti di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Dato’ Ahmad berkata, tradisi menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang ketika musim perayaan bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama diamalkan oleh pemimpin Sarawak sebagai platform memperkukuh perpaduan.
Menurutnya, di peringkat negara juga, pemimpin Malaysia sejak dahulu lagi menjadikan majlis perayaan sebagai medium untuk mengukuhkan hubungan serta persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk.
Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Sarawak merupakan satu keunikan yang perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada keharmonian masyarakat negeri ini.
“Di Sarawak kita bukan sekadar hidup bersama, tetapi kita juga meraikan perayaan bersama. Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai dan Krismas semuanya disambut meriah oleh masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.
“Ini adalah sesuatu yang sangat berharga dan perlu kita hargai serta pelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Dato’ Ahmad turut berkongsi latar belakang keluarganya yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sarawak apabila beliau berasal daripada keturunan Melanau-Iban, manakala bapanya pula daripada keturunan Melanau-Melayu.
Beliau berkata, bapanya beragama Islam manakala ibunya beragama Katolik, selain isterinya yang berketurunan Hispanik dari Colombia dan dibesarkan dalam agama Katolik.
Menurutnya, latar belakang keluarga yang berbilang budaya dan agama itu mengukuhkan kepercayaannya bahawa kepelbagaian merupakan kekuatan yang mampu membina persefahaman, rasa hormat serta hubungan yang lebih erat dalam masyarakat.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa pemimpin masyarakat dan wakil rakyat termasuk Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap bersama pasangan masing-masing, selain wakil NGO, pemimpin komuniti serta pegawai daripada beberapa agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau berharap semangat perpaduan, saling menghormati serta keharmonian yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak akan terus dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati negeri yang aman dan makmur.
Oleh Shahrul Qaizat