
SIBU: Penganjuran program Lan Berambeh Sungkei 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang menjadi simbol keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee berkata, kehadiran masyarakat daripada latar belakang berbeza pada program tersebut mencerminkan jalinan persahabatan dan sikap saling menghormati antara komuniti.
“Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, BSMM sentiasa berpegang kepada tujuh Prinsip Asas iaitu Kemanusiaan, Kesaksamaan, Berkecuali, Kebebasan, Khidmat Sukarela, Ketunggalan dan Kesejagatan dalam menjalankan misi membantu golongan memerlukan tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang budaya.
“Ramadan mengajar nilai kesabaran, keinsafan serta keprihatinan terhadap sesama insan, yang selari dengan semangat kemanusiaan yang sentiasa dijunjung oleh BSMM.
“Bantuan kemanusiaan bukan sahaja melibatkan pemberian material, tetapi juga membina kefahaman, rasa hormat dan empati antara masyarakat,” katanya pada majlis tersebut, petang tadi.
Chua berkata, sukarelawan BSMM di Sibu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang sentiasa berganding bahu dalam menghadapi bencana, memberi latihan pertolongan cemas serta melaksanakan program kebajikan komuniti.
“Kerjasama tersebut dilakukan dengan satu tujuan bersama iaitu membina masyarakat yang harmoni melalui persefahaman dan semangat kerjasama,” ujarnya lagi.
Tambahnya, majlis berbuka puasa yang diadakan bukan sekadar satu acara, sebaliknya melambangkan keharmonian serta semangat perpaduan yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.
“Dengan saling mengenali budaya dan menghormati kepercayaan masing-masing, kita dapat mengukuhkan lagi asas kestabilan sosial dalam masyarakat.
“Semoga semangat kemanusiaan ini terus menyatukan kita dalam membina sebuah masyarakat yang aman, inklusif dan penuh kasih sayang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan Selamat Berbuka Puasa dan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman serta yang lain.
Oleh Akun Giman