Majlis apresiasi BBP Bintangor 2025 hargai dedikasi anggota bomba

Facebook
WhatsApp
BERBAKAT…..Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin turut mempersembahkan lagu Rock di majlis apresiasi BBP Bintangor 2025. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Majlis apresiasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor 2025 menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen berterusan anggota bomba dalam menjalankan amanah kepada masyarakat sepanjang tahun ini.

Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata majlis yang bertemakan pakaian Rock tersebut diadakan di ruang bilik jentera balai dalam suasana meriah dan mesra keluarga.

“Majlis apresiasi ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota yang telah memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi sepanjang tahun ini.

“Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota bomba dan keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

TEMA ROCK….Anggota BBP Bintangor dan ahli keluarga  bergambar bersama Mahmudin. Foto BBP Bintangor

Tambahnya, sesi penyampaian hadiah turut diadakan kepada para pemenang bagi tiga acara utama iaitu sukan antara syif BBP Bintangor 2025, pertandingan cabaran kemahiran dan taktikal BBP Bintangor 2025 serta acara sukaneka sempena hari keluarga BBP Bintangor 2025.

“Majlis turut diserikan dengan cabutan bertuah serta pemilihan pemenang bagi pakaian bertemakan Rock bagi kategori lelaki dan wanita yang menampilkan penampilan kreatif dalam kalangan anggota dan keluarga.

“Suasana turut meriah dengan persembahan pasukan bomba yang mempersembahkan nyanyian lagu-lagu Rock secara berkumpulan,” katanya.

Oleh Earl Anek