
MALUDAM: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso berlangsung meriah dengan kehadiran penduduk setempat dalam suasana penuh harmoni di Dewan Serbaguna Kampung Triso, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, majlis seumpama ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sambutan Aidilfitri bukan sahaja diraikan sebagai tradisi tahunan, malah menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang.
“Majlis seperti ini menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, JKKK Kampung Triso atas komitmen dan usaha gigih dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Majlis berkenaan menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama memeriahkan sambutan dengan penuh semangat kekeluargaan dan keharmonian.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menceriakan lagi suasana sambutan Aidilfitri.
Antara tetamu yang turut hadir ialah Noraini Aden dari Pejabat Daerah Kecil Maludam serta Penghulu kawasan Maludam/Triso, Mahli Semail.
Turut sama memeriahkan majlis ialah barisan ketua kaum kawasan Triso dan Maludam, wakil dari Pusat Khidmat Lingga serta penduduk sekitar.
Majlis seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman