
BINTULU: Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terus memainkan peranan penting sebagai medium penyatuan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, majlis tersebut bukan sekadar acara sambutan perayaan sebaliknya menjadi wadah memperkukuh hubungan antara kerajaan, sektor industri dan komuniti setempat.
“Majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat Bintulu yang kita banggakan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diwakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran yang kini memasuki edisi keempat itu membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, konsep majlis yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat di bawah satu bumbung mencerminkan pendekatan inklusif yang menjadi teras keharmonian di Bintulu.
“Semua pihak termasuk kerajaan, industri, persatuan dan komuniti berganding bahu menjayakan majlis ini dalam suasana penuh muhibah,” katanya.
Beliau berkata, BDA bertindak sebagai penyelaras utama, namun kejayaan penganjuran tersebut adalah hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat.
Tambahnya, objektif utama majlis berkenaan adalah untuk memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan strategik serta memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat kerjasama yang terjalin akan terus diperkasakan bagi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat di Bintulu terus kekal.
Majlis tersebut menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor industri, persatuan, wakil kampung serta komuniti setempat.
Oleh Carolyne Utih