
SIBU: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kapten Dato Roseley Omar dan isteri, Penghulu Datin Dayang Fatiyah Tun Pehin Sri Abang Muhd Salahuddin, malam tadi berlangsung meriah dalam suasana penuh mesra, menyatukan pemimpin masyarakat, wakil pertubuhan dan penduduk setempat.
Majlis yang diadakan di kediaman mereka itu turut mencatat detik istimewa apabila anak lelaki pasangan berkenaan dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), melambangkan kesinambungan khidmat keluarga tersebut terhadap pembangunan komuniti.
Menurut Roseley, penganjuran majlis kali ini amat bermakna kerana ia adalah yang pertama selepas lebih satu dekad.
“Kali terakhir dianjurkan pada 2013 sempena lawatan mendiang bapa mentua saya yang ketika itu menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya.
Selain mengeratkan silaturahim, majlis turut memberi penghormatan kepada insiden serangan hendap di Ulu Katibas pada 1971 yang menyaksikan Leftenan Kolonel Anwar Basha Khan dan platunnya diserang di sepanjang kawasan sungai.
Beliau turut memaklumkan bahawa lawatan ke lokasi bersejarah itu sedang dirancang bersama Panglima 9 Briged dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, sebagai tanda penghormatan kepada pengorbanan anggota keselamatan.
“Inisiatif ini diharap dapat menyemai rasa penghargaan dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda terhadap jasa mereka yang telah berjuang mempertahankan negara,” katanya lagi.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan kemeriahan Aidilfitri, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan, mengimbau sejarah serta menyemai harapan ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan; Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce; Pengerusi MPS, Clarence Ting; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Wong Ching Yong; Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Agatha Ting serta Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting.
Oleh Tarani Lanting