LAWAS: Pembangunan Sarawak ke arah negeri termaju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 perlu dipacu oleh generasi muda yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
Oleh itu, kualiti institusi pendidikan juga akan terus dipertingkatkan sejajar dengan keperluan dan peredaran zaman.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan melihat pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas sebagai usaha penting ke arah meletakkan anak Sarawak dalam penyertaan pembangunan negara dan negeri ini sendiri.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian &
Pembangunan Usahawan, Sarawak menyatakan demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Tanah MRSM Lawas kepada Majlis Amanah Rakyat(MARA) di Hotel Seri Malaysia Lawas semalam.
Seterusnya beliau menjelaskan dunia hari ini digerakkan oleh ilmu pengetahuan khususnya dalam melayari era dunia ekonomi digital dan teknikal.
Oleh itu, tumpuan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan negeri ini dalam industri pembuatan, pemodenan pertanian, ternakan dan semuanya memerlukan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, berdedikasi dan komited menjalankan amanah yang digalas.
MRSM Lawas ini dilihat mampu menampung keperluan tenaga moda insan yang penting bagi koridor di utara Sarawak.
Melalui RECODA dan agensi dibawahnya seperti NRDA akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas selain telekomunikasi yang pantas.
“Apabila kita berjaya membangunkan semua sektor infrastruktur dan kemudahan asas berserta tenaga kerja yang mahir, maka kita akan mampu menjadi destinasi pelabur luar untuk membuat pelaburan besar di Sarawak,” ujarnya.
Awang Tengah juga berterima kasih kepada kerajaan pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) yang peka dengan keperluan Sarawak dan terus membantu meransang pembangunan negeri ini.
Sejajar dengan itu, Kerajaan Sarawak akan mengoptimumkan segala sumber yang ada untuk pembangunan di setiap pelosok negeri Sarawak dan terus memelihara alam sekitar.
“Walaupun masih muda iaitu tiga bulan sahaja, kerajaan PN telah berjaya meneruskan projek yang dihentikan kerajaan PH terdahulu seperti hospital Lawas dan MRSM Lawas.
Usaha keras Timbalan Menteri KPLB, Dato Henry Sum selaku anak Sarawak dan tempatan Lawas telah berjaya membawa kembali projek penting ini balik ke Lawas,” tambahnya.
Ini berbeza dengan anak Sarawak dan Lawas dalam kerajaan PH dahulu yang banyak berpolitik dan memberhentikan projek penting di Sarawak walaupun memegang jawatan menteri kanan dalam kabinet PH dahulu.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agung, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dato Norison Ramli, Ketua Pengarah MARA Malaysia, Dato Azhar Abdul Manaf, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan kenamaan lain.