
MIRI: Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS) Bahagian Miri berjaya menumpaskan kegiatan pemalsuan dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) yang didalangi seorang majikan tempatan dalam operasi penguatkuasaan, semalam.
Dalam operasi tersebut, JIMS Miri turut menahan 19 lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, yang kini ditahan di Depot Imigresen Bekenu untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan Pengarah JIMS, Abdul Halim Abang Naili pada hari ini, operasi itu telah melibatkan seramai 30 anggota yang bermula dari 2.35 petang.
“Bertitik tolak daripada maklumat risikan Unit Penguatkuasa JIMS Miri, pemeriksaan ke atas sebuah premis kilang yang mengeluarkan dan mencetak papan tanda jalan telah menemui seramai 24 pekerja warga Indonesia yang sedang bekerja ketika serbuan dijalankan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas pejabat syarikat mendedahkan pelbagai dokumen meragukan, termasuk salinan muka depan pasport yang mempunyai butiran identiti sama tetapi dengan gambar berbeza, e-PLKS yang telah dipinda secara tidak sah terutama pada bahagian gambar, serta folder digital berlabel ‘dummy’ yang mengandungi pelbagai salinan pasport dan e-PLKS yang disyaki telah dipalsukan,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati 13 pekerja memiliki e-PLKS yang sah dan tulen, namun dokumen tersebut disalahgunakan dan dipalsukan oleh majikan untuk kegunaan 34 pekerja lain yang turut didaftarkan di premis berkenaan.
“Bagaimanapun, sebahagian daripada pekerja terbabit tidak berada di premis semasa serbuan dijalankan.
“Pemalsuan ini dipercayai dilakukan bagi memudahkan pergerakan dan urusan harian pekerja asing terbabit, termasuk pengesahan identiti dan pembelian perkhidmatan asas,” jelasnya.
Sehubungan itu, majikan dan seorang wanita rakyat tempatan, mengaku telah terlibat dalam memalsukan maklumat pasport dan e-PLKS untuk menyembunyikan status sebenar pekerjanya. Beliau telah ditahan bagi membantu siasatan.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan termasuk sebuah komputer, beberapa pendrive, punchcard, baucar gaji, pasport pekerja asing, serta beberapa folder fizikal dan fail digital yang mengandungi dokumen disyaki dipalsukan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 56(1)(i) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memperhebat tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen serta penggajian PATI. Orang awam digesa melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti seperti ini demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Oleh Adum Liu