PETRA JAYA: Penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja kini menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan pekerja, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Selain penyediaan kemudahan ini, tumpuan turut diberikan kepada kualiti pengasuhan serta nisbah guru kepada kanak-kanak bagi menjamin perkembangan awal yang optimum.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keperluan terhadap pusat jagaan di tempat kerja semakin meningkat, justeru, majikan digalakkan untuk menyediakan kemudahan tersebut sebagai langkah menyokong keseimbangan antara kerjaya, dan kehidupan keluarga.
“Kita mahu ibu bapa dapat bekerja dengan tenang tanpa kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka.
“Penyediaan pusat jagaan di tempat kerja bukan sahaja membantu meningkatkan produktiviti pekerja, tetapi juga memastikan anak-anak mendapat pengasuhan berkualiti dalam persekitaran yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Taska Tempat Kerja SeDidik di Bangunan Baitul Makmur 2, hari ini.
Fatimah turut menegaskan bahawa kualiti perkhidmatan di pusat jagaan perlu dititikberatkan, termasuk memastikan nisbah guru dan kanak-kanak berada pada kadar yang sesuai.
Nisbah yang terlalu tinggi boleh menjejaskan tahap perhatian yang diberikan kepada setiap kanak-kanak, sekali gus mengganggu perkembangan mereka.
“Kita tidak mahu pusat jagaan hanya menjadi tempat untuk menitipkan anak-anak.
“Mereka perlu diberi perhatian sewajarnya, dengan nisbah guru dan kanak-kanak yang ideal supaya pembelajaran awal serta perkembangan sosial mereka dapat diperkukuhkan,” tambahnya.
Bagi memastikan pusat jagaan mematuhi piawaian yang ditetapkan, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk majikan dan pengusaha pusat jagaan, untuk memastikan garis panduan dipatuhi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan kanak-kanak dan keluarga mereka.
Setakat 15 Februari 2025, terdapat 249 taska berdaftar di seluruh Sarawak yang dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Daripada jumlah tersebut, 16 adalah Taska Tempat Kerja (TTK), termasuk 10 yang berada di bawah SeDidik, seperti TTK Baitul Makmur 2.
Sehingga kini, jumlah pendaftaran di TTK Baitul Makmur 2 adalah seramai 69 orang, terdiri daripada 11 bayi berumur 6-12 bulan, 28 kanak-kanak berusia 1-2 tahun, dan 30 kanak-kanak berumur 3 tahun.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam.
Oleh Amanda L.