
SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi denda RM2,000 atau penjara sebulan terhadap seorang majikan atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pekerjanya, 14 Oktober lepas.
Lau Hui Kwong, 47, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Oon Kork Chern di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen ini boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, Lau didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pekerjanya yang berusia 23 tahun pada 14 Oktober 2025, sekitar 7.00 malam di tepi Jalan Rantau Panjang.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 6.54 petang, pengadu telah menerima panggilan daripada adiknya iaitu mangsa, yang memberitahu bertengkar dengan majikanya iaitu tertuduh di tepi Jalan Rantau Panjang.
Pertengkaran itu berlaku apabila adik pengadu yang memandu kren milik syarikat, telah terlanggar sebuah rumah yang terletak dengan tapak kerja.
Pengadu kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka, dimana tertuduh bertindak menumbuk mangsa. Pada masa sama, pengadu turut bertindak membalas dengan menumbuk tertuduh.
Pengadu turut memberitahu bahawa tertuduh telah mengambil objek dari dalam kenderaannya yang dipercayai senjata api serta mengacunya ke arah pengadu dan mangsa, menyebabkan pengadu lari bagi mendapatkan pertolongan meninggalkan mangsa sendirian.
Tertuduh kemudian bertindak menyerang mangsa dengan menghentak-hentaknya, menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
Pengadu kembali ke tempat kejadian bagi membawa mangsa ke Hospital Sibu, dimana mangsa telah menerima rawatan di Zon Merah sebelum dipindah ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Laporan polis kemudian dibuat dan pada 16 Oktober 2025, sekitar 3.00 pagi, pihak polis telah menangkap tertuduh di tepi Jalan Kampung Nyabor bagi membantu siasatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao A/L Tharma Raja sementara tertuduh tidak diwakili.