KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang menyuarakan keprihatinan beliau berkenaan dengan komitmen majikan mencarum bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mereka yang bekerja di Empangan Hidroelektrik, Sarawak Energy Berhad di Baleh, Kapit.
Beliau mendapati bahawa beberapa pekerja di empangan tersebut mengalami masalah KWSP dan PERKESO tidak dipotong dari gaji termasuk masalah majikan membuat potongan tetapi tidak dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka.
Jelasnya, dengan perkhidmatan perbankan internet pada masa kini, majikan seharusnya tidak menghadapi masalah untuk memastikan caruman KWSP dan PERKESO dicarum ke akaun KWSP dan akaun PERKESO pekerja setiap bulan tanpa penangguhan.
Dalam satu kenyataan media, beliau mengingatkan majikan bahawa Seksyen 48 (3) Akta KWSP 1991 menyatakan majikan yang memotong caruman daripada gaji pekerja tetapi gagal membayar jumlah yang dipotong atau sebahagian daripadanya kepada KWSP akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari enam tahun atau denda tidak lebih daripada RM20,000 atau kedua-duanya.
“Jangan tunggu sehingga para pekerja membuat aduan kepada pihak KWSP dan PERKESO,” katanya.
Beliau menambah, majikan diwajibkan membayar caruman KWSP bagi setiap orang yang bertugas untuk bekerja di bawah Kontrak Perkhidmatan atau Perantisan.
Jelasnya lagi, majikan mesti memastikan bahawa pemotongan dibuat dengan tepat dari gaji pekerja untuk dihantar ke KWSP dan pada masa yang sama membuat pembayaran peratusan yang ditetapkan untuk caruman majikan.
Bagi pekerja yang menerima upah kurang dari RM5,000, caruman majikan adalah 13 peratus sementara pekerja yang memperoleh lebih dari RM5,000, majikan menyumbang 12 peratus dan untuk kedua-dua kategori, sumbangan pekerja adalah 9 peratus.
Manakala untuk PERKESO, berdasarkan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2007 yang diperkenal dan dikuatkuasakan pada tahun 2018, semua majikan di sektor swasta diwajibkan membayar caruman bulanan bagi yang bekerja di bawah Kontrak Perkhidmatan atau Perantisan.
“Sumbangan PERKESO adalah penting untuk melindungi pekerja dan bahkan mereka yang bekerja sebagai pekerja sementara atau sambilan perlu didaftarkan dengan PERKESO.
“Semua pekerja yang berumur antara 18 hingga 60 tahun dikehendaki mencarum kecuali mereka yang berumur 57 tahun ke atas yang tidak mencarum sebelum 57 tahun.
“Majikan yang gagal mendaftar pekerjanya atau membuat caruman boleh didakwa dan menghadapi hukuman penjara selama dua tahun atau hukuman tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.
Wilson juga mengingatkan semua majikan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam membuat caruman yang diperlukan serta pemotongan dari pekerja mereka mengikut jadual yang telah ditetapkan.