PETRA JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) sedang mengkaji keperluan untuk meminda Akta Antigangguan Seksual 2022 untuk memastikan perlindungan menyeluruh terhadap mangsa dibawah peruntukan undang-undang berkenaan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, antara perkara yang perlu dipinda adalah untuk memasukkan unsur akauntibiliti terhadap organisasi yang didapati dengan sengaja tidak mengambil tindakan terhadap laporan gangguan seksual oleh pekerjanya.
Katanya, akta sedia ada sekarang tidak melibatkan organisasi, ia hanya melibatkan tindakan undang-undang terhadap individu.
“Dicadangkan supaya ada pindaan untuk menyertakan unsur-unsur (akauntibiliti). Ini bukan bermaksud organisasinya sebagai pelaku, ini kerana kes gangguan seksual hanya melibatkan antara individu, tetapi jika ada bukti sesebuah organisasi ini tidak mengambil tindakan, apakah yang boleh kita lakukan di bawah undang-undang?
“Peruntukan itu yang kita mahu masukkan (ke dalam Akta Antigangguan Seksual), supaya ia lebih kemas. Kita tidak boleh hanya menunggu individu dengan individu, tetapi organisasi tidak melakukan apa-apa.
“Jadi sekarang, sebagai menteri bertanggungjawab, saya akan meminta agar akta ini dipinda bagi menambah peruntukan tersebut ke dalam akta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Santubong di Mydin Tunku Vista, di sini, hari ini.
Nancy diminta mengulas kes gangguan seksual terhadap kakitangan sebuah bank di Bercham, Perak yang telah digantung tugas selepas melaporkan kes terhadap pelaku yang merupakan pegawai atasannya.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar mangsa tersebut memanfaatkan platform Tribunal Antigangguan Seksual yang sudah beroperasi sejak Mac tahun ini.
“Setakat ini kami masih menunggu pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Perak untuk menghubungi NUBE kebangsaan supaya membenarkan mangsa ini untuk menggunakan platform Tribunal Antigangguan Seksual.
“Mangsa sudah membuat laporan polis, ini bermakna dia sudah bersedia untuk mengambil tindakan jenayah (terhadap pelaku), tetapi prosesnya berbeza, namun kita juga memerlukan laporan polis sebagai proses untuk membawa kes ini ke tribunal.
“Jadi ketika ini kami masih menunggu dan mengharapkan mangsa untuk datang kepada kami, supaya boleh kami bantu,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini, Tribunal Antigangguan Seksual menerima lapan kes sejak Mac lalu, dengan dua daripadanya sudah mendapat keputusan rasmi.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
JELASKAN… Dato Sri Nancy Shukri pada sidang media selepas program Jiwa Komuniti Madani peringat Parlimen Santubong, di Mydin Tunku Vista, hari ini.