MAIWP beri insentif RM500 kepada 289 jemaah haji B40

Facebook
WhatsApp
SEHINGGA semalam seramai 5,790 orang daripada 31,600 jemaah haji yang mendapat tawaran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, telah selamat tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah dengan menaiki 22 penerbangan yang disewa khas Lembaga Tabung Haji (TH). Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, 4,403 jemaah haji kini berada di Madinah manakala seramai 1,387 jemaah haji telah sampai di Makkah bermula 14 Mei 2024. FotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memberikan insentif sebanyak RM500 kepada 289 orang bakal jemaah haji dari keluarga B40 Wilayah Persekutuan, untuk musim haji tahun 2024M/1445H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataan hari ini berkata pemberian insentif itu, sebagai tanda keprihatinan pihaknya kepada kebajikan masyarakat B40, serta mereka yang memerlukan. 

“Ini sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban masyarakat, serta diharapkan dapat membantu para jemaah haji terlibat,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024 dan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun. – Bernama