

MIRI: Aktiviti bermain layang-layang di kawasan jalan raya sekali lagi menimbulkan kebimbangan selepas satu kejadian hampir mencetuskan insiden berbahaya di Bypass Milea Fasa 3 di sini, hari ini.
Menurut perkongsian orang awam di laman sosial Facebook, tali layang-layang dipercayai hampir mengenai seorang pengguna jalan raya dan hanya tersangkut pada cermin sisi kenderaan.
Keadaan itu disifatkan sangat berbahaya kerana jika tali berkenaan tersangkut pada leher penunggang motosikal atau pengguna jalan raya lain, ia boleh mengakibatkan kecederaan serius atau maut.
Orang ramai menyuarakan rasa bimbang kerana kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku, malah aktiviti bermain layang-layang di kawasan berhampiran jalan raya dilihat semakin berleluasa tanpa mengambil kira aspek keselamatan.
Sehubungan itu, ibubapa dan penjaga dinasihatkan agar memantau aktiviti anak-anak serta memastikan permainan layang-layang hanya dilakukan di kawasan lapang yang selamat dan jauh dari laluan trafik.
Pihak berkuasa juga digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Oleh Liong Chai Ling