MASIH segar dengan kejayaan mengalahkan UiTM FC dalam saingan Piala FA sebelum ini, Kuching City FC sudah pasti mahu memulakan kancah Liga Premier 2022 dengan langkah kanan lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Negeri malam ini.
Anak buah Irfan Bakti Abu Salim akan turun menentang Kelantan FC dalam perlawanan yang bermula 9.15 malam.
Kuching City yang bercita-cita layak ke Liga Super pasti akan menggunakan peluang beraksi di gelanggang sendiri bagi mengutip tiga mata dan jurulatih berpengalaman seperti Irfan mempunyai ramuan terbaik untuk melakar kejayaan.
Malah, Irfan turut berharap aura kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC sebelum ini dapat menjadi tonik kepada pemain untuk menampilkan aksi terbaik.
“Ini merupakan aksi sulung kita dalam saingan Liga Premier 2022. Sudah pasti kita mengharapkan sesuatu yang positif dapat ditampilkan dalam perlawanan ini,” katanya.
Menurutnya, beliau mempunyai banyak pilihan pemain untuk membarisi kesebelasan utama.
“Semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Mohd Dzulazlan Ibrahim yang masih belum pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Lebih menggembirakan lagi katanya, pemain yang berada dibangku simpanan juga mampu untuk menggalas tugas bagi menggantikan pemain utama termasuk di posisi yang ditinggalkan Dzulazlan.
“Pemain sedia ada mampu menggalas tugas dengan sebaik mungkin apabila diberi peluang beraksi,” jelasnya.