Coco Gauff meletakkan sasarannya pada penghujung musim yang memberangsangkan ketika bintang remaja itu bersedia untuk mengetuai cabaran Amerika Syarikat di pusingan akhir Piala Billie Jean King minggu ini.
Dilabelkan sebagai piala dunia tenis wanita, kejohanan itu bermula hari ini di Glasgow dan berlangsung sehingga 14 November.
Dahulu dikenali sebagai Piala Fed, perlawanan akhir 12 pasukan terdiri daripada empat kumpulan tiga negara, dengan setiap pemenang mara ke peringkat separuh akhir. Setiap perlawanan kumpulan di Emirates Arena terdiri daripada dua perlawanan perseorangan dan satu beregu.
Pemain nombor empat dunia Gauff akan memacu cabaran AS, bersama pemain nombor tiga dunia Jessica Pegula, dalam kejohanan yang datang tepat pada masa untuk pemain muda itu.
Pemain berusia 18 tahun itu mara ke final Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis tahun ini, meneruskan peningkatan luar biasa yang bermula pada 2019 apabila dia memperkenalkan diri dalam sukan tenis dengan layak ke pusingan keempat Wimbledon ketika berusia 15 tahun.
Gauff, yang ditewaskan oleh Iga Swiatek dalam final Roland Garros, tahun ini menjadi pemain termuda yang layak ke Pusingan Akhir WTA dalam acara perseorangan sejak Maria Sharapova pada 2005.
Namun, dia mengalami kemerosotan prestasi yang jarang berlaku apabila tewas kesemua enam perlawanan perseorangan dan beregunya di Texas, membuatkan dia bersyukur kerana berpeluang menamatkan tahun ini dengan cemerlang di Glasgow.
“Ia mungkin minggu terburuk tahun ini bagi saya. Saya tidak pernah tewas begitu cepat,” kata Gauff. “Pergi ke Piala BJK saya rasa akan lebih baik selain mempunyai pasukan dan rakan sepasukan yang bersedia untuk bermain.
“Saya agak bersyukur mempunyai kejohanan itu kerana ia akan menjadi cara yang buruk untuk menamatkan tahun ini.”
Poland akan beraksi tanpa juara Terbuka Perancis dan Terbuka AS, Swiatek selepas pemain nombor satu dunia itu memilih untuk tidak beraksi kerana kejohanan itu berdekatan dengan Pusingan Akhir WTA.
“Keadaan ini tidak selamat untuk kesihatan kita dan boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Tuan rumah Great Britain juga akan kehilangan pemain utama mereka selepas bekas juara Terbuka AS, Emma Raducanu menarik diri kerana kecederaan pergelangan tangan.
Britain telah diundi menentang Kazakhstan dan Sepanyol dalam Kumpulan C.
Walaupun dengan ketiadaan Swiatek dan Raducanu, masih ada beberapa bintang beraksi, dengan Kazakhstan diketuai oleh juara Wimbledon, Elena Rybakina.
Switzerland, naib juara 2021, berada dalam Kumpulan A bersama Kanada dan Itali.
Australia, yang telah mengambil tempat juara 2021, Russia, Slovakia dan Belgium terdiri daripada Kumpulan B, dengan Republik Czech, Poland dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan D.
Selepas mara ke separuh akhir tahun lalu dan menamatkan saingan sebagai naib juara dalam format pertandingan sebelumnya pada 2019, Australia adalah antara pencabar kejuaraan.
“Kami di sini untuk memenangi acara itu,” kata kapten Australia, Alicia Molik. “Kami bergitu hampir tahun lalu dan mungkin apa yang membuatkan kami berada dalam kedudukan yang baik ialah warga Australia, dan pasukan ini khususnya, cukup berdedikasi, mereka adalah pejuang.” – AFP