SEMARANG Village United (SVU) yang bakal dicabar Pusa United pada pusingan akhir Kejohanan Bola sepak Tertutup Betong Sembilan Sebelah Piala Razi pada 13 Mac depan mahu mencipta kejutan terakhir bagi mencapai gelaran juara.
Anak-anak buah Abdul Rahman Ismail itu sedia berentap dengan semangat juang yang amat tinggi ketika menentang nama-nama besar sepanjang kejohanan bola sepak itu semenjak 5 Februari lepas meski pun bukan bergelar pasukan pilihan.
Kemenangan SVU ke atas Jang BS pada aksi separuh akhir tempoh hari menerusi jaringan g1-0 menerusi Hamizi Azmi telah mengesahkan kemaraan pasukan dari Kampung Semarang itu ke final.
Kapten pasukan Azammudin Murat menzahirkan perasaan gembira dan syukur kerana SVU berupaya sampai ke peringkat akhir kejohanan yang dianjurkan oleh PBB Cawangan Saribas dengan kerjasama Syarikat Permata RZR dan Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) Debak.
“Perasaan sangat gembira, rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. dan kami berharap mampu menjulang piala liga bola sepak kali ini kelak.
“Bagaimanapun, kami enggan terlalu yakin kerana Pusa United juga pasukan yang hebat. Tetapi Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik.
“Kami akan terus menitikberatkan disiplin dengan persediaan mental yang mencukupi apabila berada di dalam padang kerana itulah yang telah melayakkan kami sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui tempoh hari.
Ditanya tentang cabaran, penjaring salah satu gol SVU pada pusingan suku akhir itu menyifatkan kejohanan bola sepak kali ini banyak menonjolkan bakat baharu daripada setiap kampung.
Untuk rekod, perjalanan SVU pada pertandingan inidi peringkat kumpulan diundi bersama-sama KSRTB (Tuie), GMP Betong, Jang BS B (Spaoh) dan Dom FT (Pusa).
Kemudian di peringkat suku akhir, SVU bertemu Skyline FC dengan keputusan 2-1. Gol SVU dijaringkan kapten, Azammudin dan Muhammad Asyraf Raden.
Untuk satu lagi pasukan yang berjaya menempah tiket ke pusingan akhir iaitu Pusa United, tonggak utamanya terdiri daripada belia-belia Kampung Pusa diketuai Rais Ajis.
Pasukan bimbingan Iswandy Mahbar (pengurus) dan Mas Iswandy Razali (jurulatih) itu terdahulu turut mendapat tentangan hebat di peringkat kumpulan.
Namun, usaha gigih semua pemain berhasil apabila mereka mara ke suku akhir.
“Nasib agak menyebelahi Pusa United apabila kami menang ketika menentang Bungin Villa melalui sepakan penalti 5-4.
“Di peringkat separuh akhir, kami sekali lagi mencatat kemenangan bergaya menerusi jaringan gol 2-0 apabila menentang pasukan LOY69 FC (Mangut) ,” kata Mas Iswandy.
Pusa United mendapat sokongan Miraz Enterprise dan Multimedia Cybergates Sendirian Berhad.
Bakal sang juara akan membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala dan pingat manakala naib juara pula akan memenangi wang tunai berjumlah RM1,500 beserta piala dan pingat.
Oleh VALENTINE NGUMBANG