KUCHING: Lebih 30 warga Malaysia yang masih terkandas di Nigeria memohon bantuan kerajaan Malaysia supaya dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.
Sekumpulan warga Sarawak yang terkandas telah menghubungi Utusan Sarawak memberitahu penerbangan untuk membawa mereka pulang ke Malaysia belum dimaklum dan disahkan lagi.
Mereka sudah terkandas di Nigeria sejak sekian lama, yang mana sesetengah daripadanya sudah terkandas selama tujuh bulan sambil sempadan ditutup sejak 20 Mac lalu sekali gus menyebabkan semua penerbangan dibatalkan.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Malaysia telah berusaha bagi memastikan warga Malaysia terbabit dapat kembali ke tanah air secepat mungkin.
Banyak penerbangan telah dibatalkan di Nigeria sejak pandemik Covid-19 merebak dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedaya-upaya untuk membantu dalam usaha membawa balik warga Malaysia namun tidak mendatangkan sebarang hasil.
Penerbangan pertama sepatutnya bertolak pada 31 Mei lalu menerusi penerbangan Air Peace Boeing 777 dari Lagos ke Kuala Lumpur dengan warga Asia lain.
Bagaimanapun, berikutan penangguhan di Lapangan Terbang Nigeria untuk menerima kembali warganya yang sepatutnya kembali dari Kuala Lumpur, penerbangan membawa pulang warga Malaysia terpaksa ditangguh pada 20 Jun (esok) dan 28 Jun ini, menurut perkembangan terkini.
Seorang warga Malaysia yang terkandas berkata, berita pada 15 Jun lalu menyatakan bahawa pihak Malaysia telah mencadangkan kepada Kerajaan Nigeria berkaitan kes tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi dipetik berkata dalam satu kenyataan media bahawa Kerajaan Malaysia berasa kecewa dan menuduh Kerajaan Nigeria menangguh usaha membawa pulang warga Malaysia ke tanah air.
Kerajaan Malaysia sebaliknya cuma mengambil masa seminggu untuk mengeluarkan garis panduan dan protokol dalam usaha membawa pulang warganya.
Menurut Instagram Air Peace pada 30 Mei lalu, warga Nigeria telah dibawa pulang dari China ke negara tersebut dan menjalani kuarantin selama 14 hari.
Kenyataan itu bercanggah dengan berita yang menyatakan bahawa masalah yang dihadapi adalah kerana Kerajaan Nigeria masih belum memuktamadkan garis panduan dan protokol untuk warga mereka yang akan balik.
Seorang lagi warga Malaysia yang terkandas berkata, seramai 269 rakyat Nigeria telah dibawa pulang dari India pada 13 Jun lalu.
“Justeru, adakah Nigeria sengaja melambatkan usaha membawa pulang warga Malaysia ketika ini,” luahnya.
Sumber berkata, terdapat rakyat Nigeria yang ditahan di Kuala Lumpur kerana tarikh visa mereka telah luput dan ini merupakan salah satu perkara yang menyebabkan penangguhan
Memandangkan masalah tidak dapat dikawal, seorang warga Malsysia pula risau dengan penularan wabak Covid-19 yang mana tiga warga Malaysia telah dikesan positif berdasarkan laman Facebook Syaiful Islam Che Mud pada 14 Jun lalu.
Mereka diarahkan untuk dikuarantin sendiri dan kini menunggu untuk disaring bagi kali kedua yang mana pihak syarikat telah mengatur supaya mereka menjalani rawatan sekiranya ujuan saringan kedua masih didapati positif.
Sebilangan mereka ini tidak akan dibawa pulang ke tanah air bersama warga Malaysia yang lain.
Lapangan Terbang di Lagos yang sepatutnya bermula operasi pada 21 Jun ini juga dibatalkan semalam tanpa sebarang pengumuman akan dibuka semula.
“Kami memerlukan tindakan segera untuk rakyat Malaysia di Nigeria untuk dibawa pulang. Seramai 24,000 warga Malaysia terkandas di seluruh dunia tetapi Nigeria berada dalam satu keadaan yang berlainan.
“Warga Malaysia berharap pihak Kerajaan Malaysia akan mengambil usaha untuk membawa pulang semua rakyatnya balik ke tanah air.
“Dengan gelombang kedua kini berlaku di Beijing, kami tidak tahu bila sempadan akan ditutup lagi. Sekiranya semua lapangan terbang di dunia ini ditutup semula, maka penerbangan tidak mungkin dapat dilakukan,” rayu salah seorang lagi rakyat Malaysia.
Beliau menyeru supaya Kerajaan Malaysia menghantar penerbangan satu hala dari Lagos ke Kuala Lumpur.
Katanya, tiada janji yang dibuat bahawa penerbangan akan dibuat pada 28 Jun kerana masih belum ada sebarang maklum balas daripada Kerajaan Nigeria.
Sehubungan itu, mereka berharap Kerajaan Malaysia akan membantu sebilangan yang terkandas itu daripada segi kewangan untuk membeli tiket penerbangan.
Ini kerana, sesetengah warga Malaysia itu tidak menerima sebarang gaji daripada majikan sejak penularan wabak Covid-19.
Ini ditambah lagi, keadaan di Nigeria adalah tidak baik dengan pelaksanaan PKP yang lemah, kadar jenayah yang tinggi selain masalah bekalan elektrik yang membelenggu negara itu.
Oleh Connie Chieng