
PUTRAJAYA: Datuk Mohd Isa Abdul Samad kekal dipenjarakan enam tahun dan didenda RM15.45 juta selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Pengerusi FELDA itu untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel terdahulu yang mengembalikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Sabitan dan hukuman itu membabitkan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Ravinthran N Paramaguru memutuskan tiada kekhilafan berlaku dalam prosiding terdahulu.
Azizah berkata Mohd Isa menerusi peguamnya telah diberikan peluang sepenuhnya oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini untuk mengemukakan hujahan berhubung merit pembelaan serta rayuan pengurangan hukuman.
“Bagaimanapun, pemohon memilih untuk tidak menjawab hujahan itu. Justeru, panel Mahkamah Persekutuan terdahulu telah melaksanakan bidang kuasa rayuannya secara adil selaras Seksyen 86 dan 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.
Beliau berkata panel terdahulu mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Menurut Azizah, hak untuk merayu dan hak untuk didengar telah diberikan sepenuhnya, namun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memilih untuk tidak menggunakan peluang berkenaan.
“Dalam kes ini, peguam pemohon lebih menumpukan kepada mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan dan tidak menyentuh merit pembelaan di Mahkamah Persekutuan.
“Setelah memilih pendekatan itu, pemohon tidak boleh mendakwa haknya untuk didengar dinafikan,” katanya.
Azizah turut menegaskan berdasarkan nota prosiding, Mahkamah Persekutuan tidak pernah menghalang atau menyekat Mohd Isa daripada mengemukakan hujahan sebelum keputusan dibuat.
Mengenai dakwaan Mohd Isa bahawa beliau tidak diberi peluang mengemukakan rayuan pengurangan hukuman sebelum keputusan diumumkan, Azizah berkata panel terdahulu tidak gagal dalam tanggungjawabnya kerana hanya menjalankan bidang kuasa rayuan.
Katanya rayuan pengurangan hukuman telah dibangkitkan di peringkat Mahkamah Tinggi dan tidak memerlukan penghujahan lanjut memandangkan pihak pendakwaan tidak merayu untuk menambah hukuman.
Beliau berkata, Mohd Isa juga tidak pernah membantah atau memohon pendengaran lanjut berhubung pengurangan hukuman, justeru sudah terlambat untuk mendakwa haknya dinafikan.
Terdahulu, peguam Mohd Isa, Hisyam Teh Poh Teik berhujah anak guamnya mengalami ketidakadilan serius apabila panel Mahkamah Persekutuan terdahulu meneliti kes pembelaan tanpa memberi peluang untuk menjawab merit pembelaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata pihak pembelaan sebenarnya telah diberikan peluang untuk mengemukakan hujahan berhubung merit pembelaan dan pengurangan hukuman, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Mohd Isa, 76, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya dan mengembalikan sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024, sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta untuk dirinya melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Suapan itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Kini, satu-satunya jalan terakhir yang masih terbuka kepada Mohd Isa ialah memohon pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.– Bernama