Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Mahkamah Tinggi tolak rayuan dua lelaki, kekalkan penjara 24 tahun dan lapan kali sebatan
  • MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi tolak rayuan dua lelaki, kekalkan penjara 24 tahun dan lapan kali sebatan

Utusan Sarawak 3 hours ago
RAYUAN DITOLAK.….Kedua-dua perayu diiringi oleh anggota Jabatan Penjara setelah proses rayuan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan dua lelaki dan mengekalkan hukuman penjara 24 tahun dan lapan kali sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap mereka bagi empat pertuduhan merompak secara berkumpulan.

Hakim Alvin Leong Yin Yuan ketika membuat keputusan itu memberitahu tidak menemui sebarang asas fakta yang tidak wajar atau kesilapan dari segi prinsip di pihak Hakim Mahkamah Sesyen. 

“Selain itu, berdasarkan dapatan saya di atas, saya juga tidak mendapati bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah terlalu berat atau terlalu ringan secara nyata.

“Walaupun keputusan ini mungkin sukar diterima oleh perayu, perlu ditegaskan bahawa mereka sebenarnya telah pun diberikan segala bentuk belas kasihan dan kelonggaran yang sewajarnya.

“Mereka perlu membayar harga yang berat dan setimpal atas perbuatan mereka, namun mereka masih mempunyai peluang untuk memperbaiki diri apabila selesai menjalani hukuman kelak,” katanya.

Pada 1 November 2024, perayu/tertuduh Steward Aming Galang, 26, dan Peter Tiong, 30, telah didakwa dan mengaku bersalah atas empat pertuduhan rompakan berkumpulan di bawah Seksyen 391 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dimana kesemua mangsa rompakan adalah warga emas berusia antara 70 hingga 79 tahun.

Kejadian rompakan pertama berlaku pada 8 Jun 2024, sekitar 4.00 pagi di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce, dimana kedua-dua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak telefon bimbit Nokia milik seorang mangsa dikenali sebagai Lee.

Mereka didakwa melakukan rompakan kedua pada 8 Ogos 2024, sekitar 3.00 petang di Jalan Salim Stabau, dengan merompak wang tunai RM1,200, kad pengenalan dan telefon bimbit Vivo milik mangsa dikenali sebagai Kong.

Kejadian rompakan ketiga didakwa berlaku pada 4 September 2024, sekitar 6.00 pagi di Lorong Tiong Hua 4, dengan merompak wang tunai RM500 milik mangsa dikenali sebagai Norberto.

Bagi kejadian rompakan terakhir, kedua-dua mereka bersama seorang pesalah wanita merompak telefon bimbit iPhone XS Max milik mangsa dikenali sebagai Theng pada 5 September 2024, sekitar 2.30 petang di Jalan Kong Yit Khim.

Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan terhadap kedua-dua perayu/tertuduh bagi setiap pertuduhan, dimana hukuman penjara itu berjalan secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman 24 tahun penjara dan 8 sebatan.

Kedua-dua tertuduh kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap hukuman dengan alasan utama rayuan mereka berkaitan dengan berat yang perlu diberikan kepada pengakuan bersalah mereka serta prinsip keseluruhan hukuman (totality principle).

Menurut Leong, dalam kes ini perayu masing-masing berumur 30 dan 26 tahun ketika mereka didakwa dan disabitkan kesalahan, dan walaupun secara teknikalnya mereka tidak lagi dianggap sebagai pesalah muda, usia mereka yang relatif muda berbanding mangsa-mangsa mereka yang sudah lanjut usia sebenarnya merupakan faktor yang memberatkan.

“Salah satu aspek penting dalam budaya Asia ialah rasa hormat terhadap warga emas. Bagi seseorang yang jauh lebih muda untuk menjadi pelaku jenayah terhadap seseorang yang lebih daripada dua kali ganda usianya, bukannya menghormati mereka, adalah sesuatu yang pada pandangan saya amat menjijikkan.

“Perayu telah merayu kepada konsep pragmatik dan kesederhanaan, dengan mencadangkan antara lain supaya jumlah hukuman keseluruhan dikurangkan daripada 24 tahun kepada 20 tahun penjara. 

“Walaupun mungkin terdapat sedikit daya tarikan untuk menunjukkan belas kasihan atau memberikan sedikit pengurangan hukuman, itu bukanlah asas yang wajar untuk mahkamah campur tangan dalam keputusan mahkamah bawahan,” tegasnya.

Leong menjelaskan, dalam perkara seperti ini, sifat manusia mungkin mendorong seseorang mencuba nasib di mahkamah yang lebih tinggi, namun proses rayuan tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu bentuk tawar-menawar.

Beliau berkata, adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa mahkamah rayuan boleh dan akan campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bawahan sekiranya berpuas hati bahawa salah satu daripada empat keadaan berikut wujud.

“Pertama, hakim yang menjatuhkan hukuman telah membuat keputusan yang salah mengenai asas fakta yang sesuai bagi hukuman dan kedua, terdapat kesilapan oleh hakim perbicaraan dalam menilai fakta-fakta penting yang dikemukakan kepadanya.

“Ketiga, hukuman tersebut salah dari segi prinsip atau keempat, hukuman yang dijatuhkan adalah terlalu berat atau terlalu ringan secara nyata,” ujar beliau.

Perayu/tertuduh diwakili oleh peguam Boston Ho dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sementara pihak responden oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto.

Oleh Akun Giman

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Pengurus syarikat kontraktor dipenjara empat tahun sebabkan kematian pengumpul besi buruk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.