
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman dikemukakan peguam Mahajoth Singh bagi mencabar dua arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan anak guamnya, ahli perniagaan Albert Tei, yang didakwanya melanggar hak keistimewaan peguam-anak guam.
Hakim Alice Yoke Yee Ching ketika menolak permohonan itu memutuskan perkara yang berkaitan dengan proses penyiasatan pihak penguat kuasa tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Berkaitan dakwaan SPRM berniat jahat menerusi pengeluaran notis bercanggah dengan undang-undang, mahkamah mendapati ia tidak dapat dibuktikan.
“Atas sebab-sebab ini, saya mendapati bahawa tiada hujah yang kukuh untuk memberi kebenaran. Saya tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,” kata hakim itu.
Mahajoth sedang memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis bertarikh 29 dan 30 Nov 2025, yang memerlukan beliau hadir untuk disoal siasat dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan (b) Akta SPRM.
Mahajoth menyatakan beliau menerima arahan terbabit selepas Tei ditahan oleh suruhanjaya berkenaan pada 28 Nov dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang didakwanya tanpa sebarang penjelasan munasabah.
Antara barangan yang diminta SPRM dalam arahan itu ialah telefon bimbit Tei, dokumen berkaitan pembelian perabot, pakaian, sebuah kamera serta salinan perbualan WhatsApp antara Tei dan beberapa individu.
Peguam Persekutuan V. Krishna Priya mewakili SPRM, manakala Mahajoth diwakili peguam N. Surendran dan Rajesh Nagarajan. – Bernama