
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, membayar sejumlah RM500,000 sebagai ganti rugi dan kos kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berhubung satu saman fitnah berkaitan peruntukan dana bantuan makanan COVID-19 pada 2020.
Hakim Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, memutuskan bahawa Dr Sim selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya, manakala Chong gagal mempertahankan pembelaan yang dikemukakan
Mahkamah turut menolak sepenuhnya tuntutan balas defendan selepas mendapati kenyataan Dr Sim yang disiarkan dalam artikel akhbar, termasuk dakwaan bahawa Chong ‘mengangkat guni beras sekadar untuk menunjuk-nunjuk’, tidak bersifat memfitnah.
Menurut mahkamah, artikel-artikel berkenaan tidak mengandungi sebarang perkataan yang boleh membawa maksud memfitnah.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan RM350,000 sebagai ganti rugi am dan teruk bagi fitnah, RM50,000 sebagai ganti rugi am bagi penyebaran kepalsuan berniat jahat, serta RM100,000 sebagai kos keseluruhan kepada Dr Sim.
Kes berkenaan difailkan pada 2020 oleh Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah terhadap Chong, yang merupakan Ahli Parlimen Stampin dan ADUN Padungan, susulan dakwaan bahawa beliau gagal menguruskan bantuan makanan bernilai RM800,000 yang diperuntukkan kepada empat kawasan DUN pembangkang ketika itu, iaitu Padungan, Batu Lintang, Pending dan Kota Sentosa.
Beberapa pemimpin DAP Sarawak, termasuk Chong, turut didakwa telah memfitnah Dr Sim melalui penerbitan di akhbar dan media sosial.
Menurut laporan terdahulu, Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menegaskan bahawa semua dana bantuan makanan kerajaan negeri disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan bukannya melalui pusat khidmat ADUN.
Beliau turut menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat terhadapnya bertujuan mencemarkan reputasi serta menuduh beliau menyalahgunakan kedudukan.